GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


KERAJAAN Terengganu memberi bantuan kepada 557 pemandu teksi, kereta sewa dan bas di seluruh negeri itu yang tersenarai untuk menerima bantuan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, bantuan itu membabitkan pemberian RM232.80 bagi seorang penerima selama setahun dengan bayaran caruman RM129,669.

“Peruntukan ini membuktikan penghargaan dan komitmen Kerajaan Negeri Terengganu terhadap kebajikan pemandu teksi, kereta sewa dan bas di negeri berkenaan melalui perlindungan keselamatan sosial sekiranya berlaku musibah ketika menjalankan tugas mereka.

“PERKESO sudah menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 mulai 1 Jun 2017 yang memberi perlindungan kepada mereka yang bekerja sendiri di bawah SKSPS.

“Sebagai permulaan, skim ini diwajibkan ke atas sektor pengangkutan penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas sebelum perlindungan SKSPS diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri lain termasuk sektor pengangkutan barangan dan makanan bermula 1 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hanya seramai 49,183 pencarum aktif direkodkan berdaftar dan mencarum di bawah SKSPS berbanding anggaran individu bekerja sendiri seramai 2.8 juta orang di seluruh negara sehingga semalam.

“PERKESO menggesa individu bekerja sendiri yang layak supaya segera mendaftar bagi memastikan mereka mendapat perlindungan di bawah SKSPS.

“Skim ini bukan sahaja menyediakan perlindungan kepada pencarum yang bekerja sendiri tetapi juga menjamin masa depan tanggungan mereka jika berlaku kematian berkaitan bencana pekerjaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 11:53 PM