Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas melancarkan Karnival Pencegahan Jenayah Kolaborasi PDRM dan DBKL bersama Rakan Strategik dengan Komuniti Setempat di pekarangan Blok 3B Perumahan Awam Sri Sabah, Cheras. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas melancarkan Karnival Pencegahan Jenayah Kolaborasi PDRM dan DBKL bersama Rakan Strategik dengan Komuniti Setempat di pekarangan Blok 3B Perumahan Awam Sri Sabah, Cheras. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pengusaha stesen minyak yang mendakwa menjadi mangsa ugutan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi digesa tampil membuat laporan polis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan kerana elemen itu di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Lesen untuk stesen minyak di negara kita dikawal selia oleh KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), manakala kuota jualan dan subsidi dikawal selia oleh Kementerian Kewangan.

"Namun sekiranya ada ugutan, itu sudah dalam bidang kuasa PDRM. Kalau betul berlaku ugutan terhadap tuan punya stesen minyak dan memang wujud elemen ugutan, dia hendaklah segera membuat aduan kepada polis itu sahaja pilihannya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah PDRM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Bersama Rakan Strategik di Perumahan Awam Sri Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.

Semalam, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali mendedahkan pihaknya menerima aduan daripada pengusaha stesen minyak yang diugut sindiket penyeludupan supaya terus menjual diesel bersubsidi kepada mereka.

Armizan dilaporkan berkata, pemilik dan pekerja stesen minyak turut menerima ugutan daripada sindiket yang mahu membakar stesen minyak dan merosakkan kemudahan yang ada.

Katanya, KPDN akan bekerjasama dengan PDRM akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes berkenaan dan mahu stesen minyak lain yang menerima ancaman sama supaya membuat laporan secara rasmi kepada KPDN.

Sementara itu, Razarudin berkata, berdasarkan semakan setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 3:18 PM