DRON MQ-9. Foto portal Air & Space Forces Magazine
DRON MQ-9. Foto portal Air & Space Forces Magazine
Agensi

Sanaa: Satu lagi dron MQ-9 Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) terhempas di Yaman awal Jumaat, menurut seorang pegawai tentera AS, yang mengemas kini maklumat awal menunjukkan bahawa ia terhempas di luar pantai.

CBS News melaporkan, pegawai berkata, siasatan terhadap kejadian itu sedang dijalankan namun tiada kecederaan dilaporkan.

Pemberontak Houthi yang disokong Iran mengaku bertanggungjawab pada Jumaat menembak jatuh dron berkenaan.

Houthi sudah menjatuhkan dua MQ-9, kedua-duanya di luar pantai Yaman sejak November dengan dron yang pertama pada awal November dan kemudian satu lagi pada Februari.

Setiap dron berharga kira-kira AS$30 juta (kira-kira RM143 juta), menurut Perkhidmatan Penyelidikan Kongres AS.

Dron yang terbang di luar pantai dan di atas Yaman adalah sebahagian daripada usaha tentera AS untuk membantu mempertahankan kapal komersial dan tentera daripada serangan berterusan oleh Houthi.

Sejak meletusnya perang Israel dengan Hamas, Houthi menyerang serta mengancam lebih 100 kapal komersial atau tentera di Laut Merah atau Teluk Aden.

Houthi mendakwa serangan mereka adalah protes tindakan perang Israel terhadap Hamas dan sokongan AS untuk Israel.

Tetapi pegawai AS menunjukkan bahawa banyak kapal yang disasarkan kumpulan itu tidak mempunyai kaitan dengan Israel.

Sebagai tindakan balas, AS dan United Kingdom (UK), dengan sokongan dari negara lain, melakukan empat pusingan serangan udara bersama untuk memusnahkan keupayaan Houthi di Yaman.

Selain itu, tentera AS kerap melakukan serangan pertahanan diri terhadap peluru berpandu dan dron Houthi apabila ia melihat Houthi bersiap sedia untuk serangan.

AS juga melancarkan operasi maritim pertahanan, digelar Operation Prosperity Guardian, dengan lebih 20 negara rakan kongsi, untuk mempertahankan kapal komersial daripada serangan Houthi.

Setakat ini, hanya satu serangan Houthi mengakibatkan kematian. Serangan pada Mac ke atas kapal dagang milik Liberia True Confidence membunuh dua anak kapal.

Kadar serangan perlahan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tetapi serangan masih berterusan, termasuk pada Khamis apabila Houthi melancarkan peluru berpandu balistik anti-kapal ke Teluk Aden.

Komando Pusat AS dalam satu kenyataan berkata, tiada kecederaan atau kerosakan akibat serangan itu.

Timbalan setiausaha akhbar Pentagon, Sabrina Singh berkata, awal bulan ini bahawa AS sudah tentu akan terus melakukan segala yang mampu untuk melindungi perkapalan komersial melalui Laut Merah dan Teluk Aden selain pastinya melakukan segala yang diperlukan untuk melindungi pasukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 3:21 PM