Ngwe (kiri) dan Abdul Razak menunjukkan poster Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 peringkat negeri Melaka. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Ngwe (kiri) dan Abdul Razak menunjukkan poster Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 peringkat negeri Melaka. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Lebih 5,200 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor ditawarkan buat pencari kerja pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 peringkat Negeri Melaka.

Karnival sempena program Jelajah Keluarga Malaysia itu akan diadakan selama tiga hari bermula Jumaat ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, keseluruhannya 5,259 peluang pekerjaan 'menanti' pencari kerja dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), graduan institusi pengajian tinggi dan pencari kerja di negeri ini.

Katanya, karnival itu dianjurkan kerajaan negeri bersama Kementerian Sumber Manusia menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

"Justeru saya menyeru individu yang aktif mencari kerja dan mereka yang ingin cari peluang baru untuk mencuba nasib dengan menghadiri temuduga secara bersemuka pada karnival ini bermula 9 pagi hingga 5 petang.

"Selain karnival kerjaya penganjur juga menyediakan khidmat kaunseling kerjaya dan pendaftaran MYFuturejobs," katanya pada sidang media di MITC di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah PERKESO Melaka, Abdul Razak Omar.

Sementara itu Abdul Razak berkata, sebanyak 49 majikan meliputi sektor bioteknologi, perkhidmatan, perkilangan, perhotelan, telekomunikasi dan perbankan menyertai karnival kerjaya itu dengan 30 peratus syarikat dari Melaka dan 70 peratus lagi dari luar Melaka.

"Dari segi komposisi pekerjaan, 3,445 jawatan atau 65.51 peratus bagi peringkat penyelia ke atas dan 1,814 kekosongan atau 34.49 peratus lagi membabitkan peringkat sokongan.

"Kami berharap peluang ini direbut oleh pencari kerja seluruh Melaka khasnya serta negeri lain amnya. Datang awal dengan membawa resume dan dokumen sokongan serta berpakaian kemas," katanya sambil menambah 20,000 orang dijangka hadir pada karnival itu.

Antara majikan utama yang terbabit adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pusat Rehabilitasi Perkeso, CTRM Aero Composites Sdn Bhd, Koperasi Co-Opbank Malaysia Berhad dan TNB Reskiling Malaysia (ILSAS).

Mereka yang berminat untuk menghadiri temuduga boleh melayari laman web https://careerfair.perkeso.gov.my/ untuk mendaftar.

Untuk pertanyaan lanjut sila layari portal MYFutureJobs di www,myfuturejobs.gov.my/careerfair atau hubungi Careline Perkeso di talian 1-300-22-8000 atau e-mel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 12:12 AM