GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Lebih 7,000 peluang pekerjaan ditawarkan sempena Karnival Kerjaya UP (Urban Poor) Jubli Emas Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang diadakan secara dalam talian, esok.

Perkeso berkata, selari dengan strategi di bawah Majlis Pekerjaan Negara (MPN), karnival pekerjaan itu dianjurkan bagi menyahut seruan kerajaan untuk membantu golongan rentan bandar mendapatkan peluang pekerjaan khususnya ketika tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) supaya masalah pengangguran dapat ditangani dengan segera.

Menurutnya, berlainan dengan siri Program Kerjaya UP pernah dilaksanakan secara fizikal sebelum ini, Karnival Kerjaya UP Jubli Emas Perkeso akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian.

Katanya, ia membabitkan 71 majikan di enam negeri iaitu Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Johor, Terengganu dan Sabah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Antara majikan menyertai karnival pekerjaan ini adalah Sime Darby Plantation, Apar Technologies, Banyan Tree Kuala Lumpur dan Hong Leong MSIG Takaful.

"Pendaftaran ke sesi temu duga di Karnival Kerjaya UP Jubli Emas Perkeso ini adalah percuma dan terbuka kepada semua golongan pencari kerja," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pencari kerja bukan pencarum Perkeso seperti graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal boleh membuat permohonan insentif SIP Prihatin 2.0 dengan mengemukakan bukti penyertaan mereka dalam mana-mana sesi temu duga dijalankan di karnival itu.

Katanya, SIP Prihatin 2.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) menawarkan insentif Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sebanyak RM300 sebulan untuk tempoh dua bulan kepada pencari kerja yang menghadiri minimum tiga sesi temu duga dengan majikan berbeza.

"Individu berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh masa terbabit layak untuk menerima insentif tambahan Elaun Persediaan Bekerja (EPB) sebanyak RM400.

"Perkeso berharap pencari kerja daripada golongan B40 bandar akan menggunakan peluang ini untuk mendapatkan pekerjaan demi kelestarian hidup masing-masing.

"Pencari kerja boleh mendaftar di Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs menerusi pautan www.myfuturejobs.gov.my atau hubungi nombor Careline Perkeso 1-300-22-8000 atau 03-8091 5300," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 8:32 PM