Orang ramai menghadiri Karnival Kerjaya MyFutureJobs.
Orang ramai menghadiri Karnival Kerjaya MyFutureJobs.
Oleh Suliati Asri

"Saya tidak menyangka arwah mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) kerana arwah tidak pernah memberitahu saya apa-apa.

"Dia hanya berpesan, selagi masih bernyawa, jagalah anak elok-elok. Itu tanggung jawab," kata Shafie Apandi, 64, suami kepada Che Tom Lah, iaitu pencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

SKSSR adalah skim yang menyediakan perlindungan terhadap bencana domestik dan keilatan seperti kemalangan, penyakit ataupun kematian dan memberi manfaat faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis, faedah pengurusan mayat serta pencen penakat.

Skim ini dibuka kepada semua wanita yang berumur kurang 55 tahun, sama ada suri rumah sepenuh masa atau tidak, berkahwin atau bujang.

Menurut Shafie, dia hanya mengetahui hal itu apabila pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menghubunginya berkaitan perkara itu.

"Sebagai nelayan pantai, setiap hari saya hanya ke laut bekerja dan sama sekali tidak tahu bila arwah mencarum SKSSR ini.

"Alhamdulillah, syukur PERKESO melindungi isteri saya di bawah SKSSR dan dengan manfaat diterima ia dapat membantu meringankan perbelanjaan harian kami sekeluarga dan masih dapat turun laut.

"SKSSR ini sangat bagus. PERKESO tidak hanya memberikan bantuan tetapi mereka prihatin dan datang melawat. Saya ucap terima kasih kepada mereka," katanya yang kini menjadi bapa dan ibu kepada tiga anaknya iaitu pasangan kembar Sofia Azidah dan Sofia Athirah, 21, serta Mohamad Nabil, 17 di Kuala Bangka, Kota Sarang Semut, Kedah.

Bagi pramugari, Nur Farah Hidayah Mohd Affendi, 28, pengalaman diberhentikan kerja semasa Perintah Kawalan Pekerjaan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19 cukup memberi kesan mendalam buatnya lebih-lebih lagi ketika itu dia baru saja melangsungkan perkahwinan.

Katanya, dia turut berhadapan dengan masalah kewangan kerana perlu menyelesaikan komitmen bulanannya.

"Apabila saya tahu mengenai temuduga terbuka untuk syarikat penerbangan MyAirline di PERKESO, saya mencuba nasib dan Alhamdulillah berjaya.

"Sepanjang lebih dua tahun tidak bekerja, saya ada mendaftar di portal MyFutureJobs dan ia sangat membantu kerana saya menerima banyak panggilan untuk temuduga terbuka.

"Oleh itu, bagi mereka yang tidak bekerja, mendaftarlah di portal MyFutureJobs dan jika ada panggilan temuduga terbuka dari PERKESO, pergilah cuba. Ada rezeki dapat kerja," katanya yang sudah memulakan kembali kerjayanya di awan biru sejak November 2022.

Sementara itu, Penolong Pengurus Bahagian Perancangan dan Pengambilan Tenaga Manusia, 99 SPEEDMART Sdn Bhd, Nurul Ain Ismail berkata berdasarkan pengalaman menyertai program anjuran PERKESO sejak 2019, proses pencarian pekerja melalui Karnival Kerjaya MyFutureJobs ini sangat mudah.

Menurutnya, dengan adanya portal MyFutureJobs juga, ramai pencari kerja mempunyai sumber bagaimana mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai majikan dan jawatan kosong yang diperlukan.

"Pelaksanaan sistem mengimbas Kod QR juga memudahkan pencari kerja membuat pendaftaran maklumat mereka kepada majikan. Jadi, mereka tidak perlu lagi mengambil masa untuk mengisi borang permohonan.

"Karnival ini juga memudahkan pihak syarikat untuk membuat pengambilan terus kepada calon yang berjaya," katanya.

Oleh itu, Nurul Ain menyeru graduan atau pencari kerja yang masih lagi mencari pekerjaan mengunjungi karnival itu kerana banyak majikan yang menawarkan peluang pekerjaan dari pelbagai bidang.

"Gunakanlah peluang yang Perkeso sediakan ini supaya kita dapat mengurangkan tahap pengangguran. Karnival ini juga sudah banyak memberi manfaat kepada pekerja di luar sana," katanya.

Bermula 11 hingga 12 Februari ini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan PERKESO akan melancarkan SKSSR dan Karnival Kerjaya MyFutureJobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Oleh itu, semua wanita warganegara Malaysia dan pemastautin tetap dijemput hadir dan berpeluang mendaftar untuk dilindungi.

Bukan itu saja, lebih 13,000 peluang pekerjaan menanti graduan atau pencari kerja. Daftar sekarang di myfuturejobs.gov.my/careerfair.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 9:07 PM