Lebih 5,000 kerja kosong menanti pencari kerja - FOTO PERKESO
Lebih 5,000 kerja kosong menanti pencari kerja - FOTO PERKESO
Mohammad Asyraf Khalib

USAHA mencari pekerjaan yang sesuai dengan minat dan kelayakan seseorang bukanlah perkara mudah.

Dengan keadaan ekonomi semasa yang kian mencabar serta persaingan sengit daripada calon yang lebih berkelayakan atau berpengalaman, golongan pencari kerja terutama lepasan sekolah dan graduan, mungkin menghadapi banyak rintangan.

Prihatin dengan situasi itu, Kementerian Sumber Manusia (KSM), menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menganjurkan siri Karnival Kerjaya MYFutureJobs di seluruh Malaysia sebagai usaha untuk meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, di samping mengurangkan kadar pengangguran dan memperkasa pasaran buruh.

KSM memulakan momentum dengan penganjuran Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah & Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 pada 11 dan 12 Februari lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Selain tumpuan utama untuk membantu rakyat mencari pekerjaan, program dua hari yang berskala besar itu juga mengetengahkan skim perlindungan PERKESO yang terbaharu iaitu Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838).

Mula dilaksanakan pada 1 Disember tahun lalu, SKSSR menawarkan pelbagai faedah menerusi Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Keuzuran, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

Ia terbuka kepada wanita warga tempatan dan pemastautin tetap yang berusia kurang 55 tahun serta menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, berkahwin atau bujang.

Menurut PERKESO, setakat ini jumlah suri rumah yang mendaftar dan mencarum dengan skim ini mencecah 141,777 orang antara 1 Disember 2022 sehingga 14 Februari 2023.

Karnival dua hari di Perak

Bagi mereka yang tidak berkesempatan berkunjung ke Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah & Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Kuala Lumpur baru-baru ini, PERKESO akan menganjurkan karnival siri kedua di Semenanjung Malaysia, yang dijadualkan berlangsung selama dua hari iaitu pada 25 dan 26 Februari di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah Perak.

Karnival kali ini bakal menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan termasuk peluang pekerjaan yang terbuka kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Sepanjang karnival berlangsung, pelbagai perkhidmatan akan disediakan secara percuma kepada pengunjung seperti khidmat penyediaan resume, pendaftaran portal MYFutureJobs serta bimbingan dan nasihat kerjaya.

Bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), graduan universiti serta mereka yang sedang mencari pekerjaan termasuk golongan OKU, pastikan anda tidak terlepas peluang keemasan ini.

Golongan suri rumah yang layak mendaftar di bawah SKSSR juga dijemput hadir bagi membolehkan anda memahami secara lebih terperinci mengenai manfaat serta perlindungan yang boleh dinikmati oleh pencarum.

Bagi pencari kerja yang ingin menghadiri temu duga terbuka di Karnival hujung minggu ini, anda digalakkan untuk mendaftar di www.myfuturejobs.gov.my/careerfair.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 3:23 PM