GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Sebanyak 1,000 peluang pekerjaan dalam bidang perladangan dan industri komoditi bakal ditawarkan melalui Karnival Agrikomoditi 2021 pada 9 dan 10 Mac hadapan.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui kenyataan media tadi memaklumkan, karnival itu akan dijalankan secara maya.

Katanya, program itu adalah usaha menarik lebih ramai rakyat di negara ini bekerja dalam sektor perladangan yang menjanjikan pendapatan lebih baik.

Ia akan diadakan secara kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta menyasarkan 3,000 penyertaan dalam kalangan warga tempatan dan komuniti Orang Asli.

Kenyataan itu memaklumkan, program itu akan dirasmikan Menteri KPPK, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan pada jam 9 pagi Selasa ini dan boleh ditonton melalui laman https://bit.ly/3rguSgY.

Pendaftaran boleh dilakukan melalui pautan https://careerfair.perkeso.gov.my.

Selain sesi temuduga secara maya, sesi taklimat berhubung Penjana Kerjaya 2.0 dan Portal MYFutureJobs serta sesi Webinar Peluang Kerjaya di Sektor Agrikomoditi turut diadakan.

Katanya, semua pihak terutama golongan belia, graduan dan seluruh rakyat Malaysia dijemput untuk menyertai karnival kerjaya ini bagi merebut peluang pekerjaan di sektor agrikomoditi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 4:51 PM