KALIMAH al-jama‘ah menurut hadis merujuk kepada golongan majoriti masyarakat Islam atau Ahli Sunnah Waljamaah  yang merupakan aliran perdana dalam dunia Islam sejak dahulu sehingga kini.
KALIMAH al-jama‘ah menurut hadis merujuk kepada golongan majoriti masyarakat Islam atau Ahli Sunnah Waljamaah yang merupakan aliran perdana dalam dunia Islam sejak dahulu sehingga kini.
Dr  Mohd  Khafidz Soroni

Ajaran sesat secara kefahaman mudahnya ialah ajaran yang bertentangan dengan aliran Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ) yang merupakan aliran perdana dalam dunia Islam sejak dahulu sehingga kini. Aliran terbesar ini dianuti oleh majoriti umat Islam di seluruh dunia yang terbahagi dari aspek akidah kepada fahaman Asya'irah dan Maturidiyyah. Manakala dari aspek fiqah terbahagi kepada mazhab Hanafi, Maliki, Syafii dan Hanbali. Kemudian dari aspek tasawuf pula mereka berpegang dengan manhaj Imam Junaid al-Baghdadi dan lain-lain imam sufi muktabar. 

Namun begitu, kebanyakan ajaran sesat ini sentiasa mengintai peluang bagi mempromosikan fahaman mereka kepada masyarakat Islam tanpa berasa segan silu untuk menyaingi aliran perdana itu. Dengan munculnya media sosial, peluang dilihat terbuka lebar bagi mereka untuk bertindak lebih bebas. Mutakhir ini muncul sebuah ajaran sesat baharu yang mendakwa kononnya aliran ASWJ bukanlah aliran yang menepati kehendak sebenar baginda Nabi SAW. 

Mereka mendakwa istilah ASWJ itu sendiri tidak pernah disebutkan oleh baginda SAW. Ini kerana baginda hanya menyebut kalimah 'al-jama'ah' sahaja yang bererti jemaah atau kumpulan, sebagaimana sabdanya: "Yahudi telah berpecah kepada 71 golongan dan Nasrani pula berpecah kepada 72 golongan. Sedangkan umatku akan berpecah kepada 73 golongan; 72 dalam neraka dan satu sahaja dalam syurga, iaitu al-jama'ah." (Riwayat Ahmad, ad-Darimi dan Abu Dawud dengan sanad hasan). Kemudian mereka memutar belitkan fakta dengan dakwaan bahawa merekalah sebenarnya 'al-jama'ah' yang dimaksudkan oleh baginda itu, walaupun mereka hanya golongan minoriti yang amat kecil.      

Walhal hadis tersebut tidak boleh difahami secara sendirian dan mesti dibaca dengan pelbagai hadis lain yang turut menyebut kalimah 'al-jama'ah'. Ini kerana kesemuanya saling berkait antara satu sama lain sehingga kelihatan jelas bahawa kalimah 'al-jama'ah' tersebut merujuk kepada jemaah muslimin atau majoriti umat Islam. Antara hadis berkenaan, pertama, Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah ‎kamu sekalian bersama dengan al-jama'ah (jemaah muslimin). Berwaspadalah kamu se‎kalian daripada berpecah belah, kerana sesungguhnya syaitan itu ‎bersama orang yang bersendirian, sedangkan ia daripada dua orang adalah ‎lebih jauh lagi. Sesiapa yang menginginkan tempat terbaik dalam ‎syurga, maka hendaklah ia tetap bersama al-jama'ah." (Riwayat ‎at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih gharib) 

Kedua, Rasulullah SAW bersabda: "Tangan (kekuasaan) Allah di atas al-jama'ah (jemaah muslimin). Maka, ikutlah golongan yang terbesar (majoriti). Sesungguhnya sesiapa yang mengasingkan diri, bererti dia mengasingkan diri ke neraka." (Riwayat al-Hakim dan at-Tirmizi. Hadis hasan li-ghairih)

Ketiga, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang keluar daripada ketaatan dan berpisah daripada al-jama'ah (jemaah muslimin) lalu ia mati, maka kematiannya itu adalah kematian jahiliyyah." (Riwayat Muslim)

Keempat, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal (menumpahkan) darah seorang muslim yang bersyahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa aku ini utusan Allah melainkan dengan satu daripada tiga sebab, iaitu nyawa dibalas dengan nyawa, orang berkahwin yang berzina, dan orang yang keluar daripada agama, meninggalkan al-jama'ah (jemaah muslimin)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Semua hadis berkenaan menunjukkan bahawa kalimah 'al-jama'ah' merujuk kepada golongan majoriti, bukannya minoriti. Terdapat satu riwayat yang jelas menyebut pentingnya bersama jemaah muslimin, iaitu hadis pertanyaan Huzaifah bin al-Yaman RA kepada Rasulullah SAW mengenai fitnah akhir zaman. Di akhirnya, beliau bertanya: "Justeru, apa yang tuan patut perintahkan kepadaku jika aku menemui zaman itu?" Baginda menjawab: "Kamu tetap berpeganglah dengan jemaah muslimin dan imam mereka." Beliau bertanya lagi: "Jika tidak ada jemaah muslimin dan juga imam bagi mereka?" Baginda menjawab: "Kamu tinggalkan semua kelompok manusia, sekalipun kamu harus memakan akar pohon kayu sehinggalah maut menjemputmu, sedangkan kamu tetap berada dalam keadaan demikian." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dari sudut lain, terdapat pelbagai hadis menyuruh kita supaya berpegang dengan sunnah, iaitu syariat yang dibawa oleh Nabi SAW. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kamu sekalian berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah al-Khulafa' al-Rasyidin yang diberi petunjuk, serta gigitlah ia dengan gigi geraham. Hindarilah kamu sekalian perkara yang direka-reka dalam agama (bidaah) kerana setiap bidaah (yang bertentangan dengan syariat) itu sesat." (Riwayat Abu Dawud dan at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih) 

Demikian pesanan Nabi SAW kepada umatnya supaya berpegang dengan sunnah dan jemaah. Manakala orang yang mengikuti kedua-duanya pula dianggap sebagai ahlinya. Maka lahirlah istilah Ahli Sunnah Waljamaah yang jelas didasarkan kepada kalimah yang dituturkan oleh baginda SAW.


Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 6:00 AM