GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Katikawati Amri


Kuala Lumpur: Inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyediakan peluang pekerjaan menggunakan pendekatan digital membuahkan hasil apabila 19,450 pencari kerja dari seluruh negara menyertai Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Selepas berlangsung selama tiga hari, sesi temu duga terbuka yang berakhir hari ini menyaksikan 118 calon berjaya ditawarkan pekerjaan.

Sementara itu, seramai 735 calon berjaya ke panggilan temu duga peringkat kedua dan 1,431 calon lain dimasukkan ke senarai untuk pertimbangan majikan.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Perkeso berkata, pencari kerja yang berumur 18 hingga 30 tahun mencatatkan bilangan paling ramai ditawarkan pekerjaan iaitu 63 orang.

"Jumlah itu termasuklah 13 calon daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang menduduki sesi temu duga.

"Penyertaan daripada pihak majikan pula amat menggalakkan di mana 78 syarikat dari sektor swasta dan awam menyertai karnival kerjaya ini dengan menawarkan 10,802 kekosongan jawatan.

"Tiga majikan yang mengambil bilangan pekerja paling ramai daripada temu duga sepanjang karnival ini adalah TM One, Gain Forlife Sdn Bhd dan Bhavya Anand Manpower Supply iaitu dari sektor maklumat dan komunikasi serta aktiviti perkhidmatan lain," katanya.

Selain itu, sesi temu duga karnival pekerjaan turut diisi dengan penganjuran program Siri Webinar Kerjaya yang dijalankan selama sehari iaitu pada 23 Februari 2021.

Dengan tema Kebolehpasaran Pekerjaan Dalam Norma Baharu, sesi perkongsian ilmu mengenai tips hala tuju kerjaya itu mendapat sambutan baik dengan bilangan penyertaan hampir 1,000 peserta pada satu-satu masa.

Orang ramai terutamanya golongan pencari kerja dan individu yang kehilangan pekerjaan digalakkan untuk mendaftar di portal MYFutureJobs menerusi pautan https://www.myfuturejobs.gov.my.

Ketika ini, terdapat lebih daripada 150,000 kekosongan jawatan aktif diiklankan di portal terbabit dan sedia untuk diisi oleh calon yang bersesuaian mengikut kelayakan akademik masing-masing.

Bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan juga, Perkeso akan meneruskan misi penganjuran Karnival PenjanaKerjaya KSM selepas ini ke seluruh negara.

Semua maklumat mengenai peluang kerjaya, senarai program temu duga terbuka dan karnival pekerjaan boleh didapati di laman sosial rasmi Perkeso dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 6:01 PM