Syazwan Msar dan Affan Rostam

Putrajaya: Tanda tanya isi kandungan mesyuarat Kabinet belum lagi terlerai apabila Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut mengunci mulut untuk mendedahkan butiran berkaitan perkara itu kepada umum.

Hal ini kerana, Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, beliau sudah bersumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk tidak membuka mulut berkaitan apa jua yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

"Saya sudah bersumpah depan Agong tidak boleh ceritakan apa yang berlaku ketika mesyuarat Kabinet... sebab saya sumpah atas nama Allah, kalau saya ceritakan saya akan masuk api neraka… saya tidak mahu masuk api neraka," katanya pada sidang media selepas perasmian Hari Sukan Negara 2022 (HSN2022) di sini, hari ini.

AHMAD Faizal Azumu ketika sidang media sempena Program Hari Sukan Negara 2022. FOTO Bernama
AHMAD Faizal Azumu ketika sidang media sempena Program Hari Sukan Negara 2022. FOTO Bernama

HSN2022 dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang turut dihadiri, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker.

Selain itu, Faizal berkata, sekiranya Parlimen dibubarkan sebelum Bajet 2023 diluluskan kemungkinan besar kerajaan baharu akan membentang belanjawan mereka mengikut kehendak dan keperluan semasa.

"Saya rasa semalam Menteri Kewangan sudah menegaskan perkara itu jika dewan dibubarkan bajet diluluskan kalau ada kerajaan baharu jadi kerajaan baharu perlu bentangkan bajet mereka.

"Kalau ada pembubaran kabinet berlaku sudah tentu kerajaan perikatan nasional yang ditubuhkan selepas itu akan membentangkan bajet peruntukan yang lebih baik untuk negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 1:59 PM