Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Syazwan Msar


Putrajaya: Khabar gembira buat atlet dan penggiat sukan tanah air apabila Program Podium mendapat 'tonik' baharu menerusi peruntukan RM240 juta untuk tempoh empat tahun.

Hal ini bermakna, bermula tahun ini Program Podium yang diperkenalkan khusus meningkatkan keupayaan atlet untuk menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa akan menerima RM60 juta setahun bermula 2022.

Berita gembira itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini, meluluskan cadangan berkenaan dengan satu butiran projek baharu diwujudkan bagi Program Podium di bawah Peruntukan Pembangunan, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Berikutan itu, Ahmad Faizal berkata, atlet yang ditamatkan kontrak sebelum ini boleh dikatakan mendapat sinar baru apabila pihaknya akan mengkaji semula penyertaan mereka dalam program berkenaan.

"Kita mendengar keluhan daripada atlet yang ditamatkan kontrak. Kita mendengar harapan daripada pencinta sukan tanah air. Kita mendengar keluhan daripada kepimpinan persatuan sukan dan saya bawakan suara mereka ini ke Mesyuarat Jemaah Menteri.

"Alhamdulillah, Jemaah Menteri mendengar dan meluluskan perkara ini. Insya Allah, kita akan kaji semula semua kontrak yang ditamatkan akibat ketiadaan peruntukan sebelum ini," kata Ahmad Faizal dalam satu sidang media di Menara KBS.

Terdahulu, Majlis Sukan Negara (MSN) menetapkan pencapaian di peringkat kejohanan tertinggi sejak 2019 sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk membolehkan atlet kekal dalam program latihan kendalian MSN bermula 2022.

Penetapan syarat lebih ketat itu adalah langkah diperkenalkan semula MSN selepas berdepan realiti tiadanya peruntukan khusus untuk meneruskan Program Podium yang berakhir sebaik tamat temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Situasi terbabit menyaksikan hanya 288 atlet yang benar-benar layak dikekalkan bagi mengikuti program latihan sepenuh masa menjelang tiga temasya utama tahun ini iaitu Sukan Sea Hanoi di Vietnam, Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom dan Sukan Asia serta Sukan Para Asia di Hangzhou, China.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 6:26 PM