Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Program Komuniti McDonald's dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Bersama Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) menceriakan 60 anak yatim serta asnaf di Pertubuhan Rahoma Darul Fakir di Kampung Datuk Keramat, di sini.

Keceriaan jelas terpancar di wajah mereka apabila dapat meraikan sambutan hari jadi dan menyertai pelbagai aktiviti yang menarik, selain menerima sumbangan keperluan bilik tidur iaitu tilam, bantal, cadar serta sarung bantal.

Pengarah Komunikasi Korporat McDonald's Malaysia Shamsidar Yahya berkata, program dilaksanakan sejak 2017 antara inisiatif syarikat untuk menyantuni kanak-kanak dalam kalangan memerlukan sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan.

Menurutnya, seramai 12,000 kanak-kanak di 400 rumah kebajikan akan disantuni warga kerja dari 300 restoran McDonald's seluruh negara melalui penganjuran sambutan hari jadi.

PENGHUNI teruja menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan.
PENGHUNI teruja menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan.

PENGHUNI Pertubuhan Rahoma Darul Fakir menunjukkan cenderamata yang diterima. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PENGHUNI Pertubuhan Rahoma Darul Fakir menunjukkan cenderamata yang diterima. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Selain itu, katanya, RMHC akan menyumbangkan 1,000 set tilam dan cadar baharu kepada 20 rumah kebajikan kanak-kanak yang terpilih di seluruh negara membabitkan peruntukan RM275,000.

"Pemilihan rumah kebajikan dibuat berdasarkan keperluan mereka. Kami bekerjasama dengan TKHM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengenal pasti rumah kebajikan memerlukan seperti Pertubuhan Rahoma Darul Fakir ini.

"Apabila kami sudah kenal pasti lokasi, kami buat lawatan ke sini dan dapati mereka memerlukan bukan saja set bilik tidur, tetapi juga barangan keperluan lain," katanya.

HUSAIN (kanan) menyerahkan sumbangan kotak rezeki HM kepada Faridah (dua dari kanan).
HUSAIN (kanan) menyerahkan sumbangan kotak rezeki HM kepada Faridah (dua dari kanan).

Pada program sama, Harian Metro turut menghulurkan sumbangan Kotak Rezeki berupa barangan keperluan harian dan barangan elektrik yang disampaikan kepada Presiden Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Datuk Faridah Omar Shah.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM Husain Jahit berbesar hati dapat berkolaborasi bersama McDonald's dan RMHC untuk menyantuni anak yatim seterusnya menghulurkan bantuan diperlukan.

"Kerjasama antara Harian Metro dan McDonald's ini sudah memasuki tahun kedua dan saya berharap ia dapat diteruskan di masa akan datang.

"Kami berharap program komuniti ini dapat membawa sedikit kegembiraan dan keceriaan kepada anak-anak di sini. Sumbangan diberikan juga diharap dapat meringankan perbelanjaan pihak pengurusan," katanya.

Beliau berkata, program sama akan diteruskan selepas ini di Seremban, Negeri Sembilan.

HUSAIN (dua dari kanan) menyerahkan cenderahati TKHM kepada Faridah.
HUSAIN (dua dari kanan) menyerahkan cenderahati TKHM kepada Faridah.

'Kali pertama dirai begitu meriah'

Kuala Lumpur: "Ini kali pertama saya dan kawan dirai dengan meriah sekali. Saya gembira atas kunjungan McDonald's dan Harian Metro," kata Nisrin Nuwairah Rosnan, 15, penghuni rumah Pertubuhan Rahoma Darul Fakir, 15, Jalan Kent 3, Kampung Datuk Keramat di sini.

Remaja itu yang sudah enam tahun menghuni rumah kebajikan berkata, ramai pihak datang menghulur bantuan sebelum ini namun berbeza kali ini apabila sambutan hari jadi turut diadakan.

SAMBUTAN  hari jadi penghuni Pertubuhan Rahoma Darul Fakir memeriahkan lagi majlis.
SAMBUTAN hari jadi penghuni Pertubuhan Rahoma Darul Fakir memeriahkan lagi majlis.

"Selain terima sumbangan, kami terhibur dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan. Sedikit-sebanyak ia hilangkan tekanan seharian belajar.

"Saya berterima kasih kerana menghulurkan sumbangan tilam dan bantal baharu. Dapatlah kami tidur dengan selesa," katanya ketika ditemui selepas penganjuran Program Komuniti McDonald's dan RMHC Bersama Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang diadakan di rumah kebajikan itu.

DARI kiri, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek, Husain,    Shamsidar, Faridah  dan Pengurus Besar RMHC Nasri Nordin  ketika menukar cadar baharu.
DARI kiri, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek, Husain, Shamsidar, Faridah dan Pengurus Besar RMHC Nasri Nordin ketika menukar cadar baharu.

Seorang lagi penghuni, Puteri Nur Damia, 15, mengakui gembira dengan program itu.

"Seronok sangat kerana sudah lama tiada majlis atau program sebegini.

"Ada aktiviti saya dan rakan buat di sini setiap hari selain belajar, cuma sudah lama tiada program diadakan pihak luar.

"Diharap lebih banyak program seperti ini diadakan selepas ini," katanya yang menetap di situ sejak tujuh tahun lalu.

Bagi Nur Qurratu' Akilla Mohd Zulaili, 14, pula, dia bersyukur kerana dapat menikmati makanan kegemarannya.

Menurutnya, dia gembira menerima kunjungan pihak McDonald's, RMHC serta Harian Metro yang turut menghulurkan sumbangan set bilik tidur dan barangan keperluan harian lain.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Datuk Faridah Omar Shah menghargai usaha itu dalam meringankan beban dan menggembirakan anak yatim serta asnaf di rumah kebajikannya.

Menurutnya, rumah kebajikan ditubuhkan pada 2008 kini mempunyai 60 anak yatim ditempatkan di Kampung Datuk Keramat dan Subang, Selangor.

"Saya terharu dan gembira atas kerjasama ketiga-tiga pihak penganjur memilih rumah kebajikan saya untuk menghulurkan sumbangan serta meraikan anak di sini.

"Saya mendoakan semoga semua pihak yang membantu dipanjangkan umur, murah rezeki dan perniagaan bertambah maju," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 7:01 AM