Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Program Komuniti McDonald's dan RMHC Bersama Titipan Kasih Harian Metro di Rumah Bakti Nur Syaheera di Taman Jaya Baru, Cheras, di sini, menceriakan penghuninya selepas dua tahun 'sepi' akibat pandemik Covid-19.

Program sempena Bulan Komuniti Kanak-Kanak yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan itu diceriakan dengan sambutan hari jadi meraikan 28 anak yatim berusia lapan hingga 18 tahun serta sumbangan bantal, tilam, cadar dan sarung bantal untuk keselesaan mereka.

Pengarah Komunikasi Korporat McDonald's Malaysia Shamsidar Yahya berkata, program itu antara inisiatif mendekatkan syarikat itu dengan masyarakat memerlukan.

"Setelah mengharungi masa mencabar akibat penularan wabak Covid-19, kami berasa ia amat wajar pada tahun ini untuk menceriakan anak yatim, miskin dan asnaf.

"Sempena Bulan Komuniti Kanak-Kanak tahun ini, kami mengadakan McD Party di hampir 400 rumah anak yatim untuk meraikan 12,000 kanak-kanak memerlukan di seluruh Malaysia.

"Kita turut menjalankan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan senarai rumah kebajikan memerlukan kelengkapan bilik tidur dan paling penting ia terletak berhampiran restoran McDonald's bagi memudahkan kita datang serta menghantar makanan di lokasi berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap pengerusi Projek TKHM, Husain Jahit berbesar hati dapat berkolaborasi bersama McDonald's dan RMHC menyelami kesulitan dialami anak yatim dan fakir seterusnya menghulurkan bantuan diperlukan.

"Ini projek pertama Harian Metro bersama McDonald's dan berharap dapat terus bekerjasama bukan hanya di rumah ini tetapi di Sendayan, Negeri Sembilan serta banyak lagi lokasi lain seluruh negara.

"Kebetulan, program kali ini diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul dan diharap ia diberkati serta memberi peluang kepada semua terbabit untuk muhasabah diri dengan kunjungan ke rumah anak yatim," katanya ketika ditemui selepas simbolik kerjasama itu dan meninjau asrama penghuni Rumah Bakti Nur Syaheera.

Rumah Bakti Nur Syaheera dan Pusat Jagaan Kanak-kanak Yatim Miskin Muhammad Al Fateh antara 25 rumah anak yatim terpilih di seluruh negara yang dibantu McDonald's dan RMHC sempena bulan komuniti kanak-kanak Malaysia.

Semua rumah anak yatim ini menerima sumbangan berupa set bantal dan tilam serta sarung bantal dan sarung tilam daripada McDonald's dan RMHC.

Inisiatif sepanjang Bulan Komuniti Kanak-kanak bertujuan merapatkan hubungan penaja dengan masyarakat setempat terutama golongan kurang bernasib baik serta menghulurkan bantuan diperlukan.

Sempena perayaan Bulan Komuniti Kanak-Kanak tahun ini, McDonald's menyambut hari kelahiran setiap penghuni rumah anak yatim untuk memberi keriangan kepada mereka.

HUSAIN (kiri) dan Shamsidar (kanan) menukar sarung bantal milik penghuni.
HUSAIN (kiri) dan Shamsidar (kanan) menukar sarung bantal milik penghuni.

'Dah lama tidak rasa suasana sebegini'

"Saya gembira dengan kunjungan wakil McDonald's dan Harian Metro kerana sudah lama tidak merasai suasana seperti ini," kata Akbar Abdullah, penghuni Rumah Bakti Nur Syaheera, Taman Jaya Baru, di sini.

Akbar, 15, memberi reaksi itu ketika ditemui selepas penganjuran Program Komuniti McDonald's dan RHMC Bersama Titipan Kasih Harian Metro yang diadakan di rumah kebajikan itu.

Menurut Akbar, ramai pihak menghulur bantuan sepanjang pandemik namun hanya menghantar barangan tanpa majlis atau program bagi mematuhi SOP berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ada aktiviti saya dan rakan buat di sini setiap hari selain belajar antaranya beriadah pada waktu petang.

"Cuma, tiada program diadakan pihak luar, diharap lebih banyak program seperti ini diadakan selepas ini di sini," katanya.

Bercerita lanjut, Akbar berkata, dia tinggal di rumah Bakti Nur Syaheera sejak berumur tujuh tahun dan antara penghuni terawal di situ.

"Ibu dan bapa kandung saya meninggal dunia sejak kecil lagi dan kemudian saya dijaga keluarga angkat.

"Namun keluarga angkat juga meninggal dunia menyebabkan saya masuk ke sini," katanya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Damai, di sini.

Seorang lagi penghuni, Nor Kadijah Mohd Sallehudin, 11 dari Temerloh, Pahang mengakui gembira dengan program itu.

"Seronok sangat kerana sudah lama tiada majlis atau program sebegini," katanya yang menetap di Rumah Bakti Nur Syaheera sejak empat tahun lalu selepas kematian bapanya.

Sementara itu, pengasas Rumah Bakti Nur Syaheera dan Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Kuala Lumpur, Johari Basri menghargai usaha itu selepas sekian lama tidak menerima kunjungan pihak luar.

"Ini pertama kali kami terima kunjungan sejak pandemik dan ribuan terima kasih kepada pihak McDonald's, RMHC serta Harian Metro kerana memberi keperluan bilik tidur yang kali terakhir digantikan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 10:38 AM
PENGHUNI Rumah Bakti Nur Syaheera ceria ketika Program Komuniti McDonald’s dan RMHC Bersama TKHM.
PENGHUNI Rumah Bakti Nur Syaheera ceria ketika Program Komuniti McDonald’s dan RMHC Bersama TKHM.