Mary Victoria Dass dan Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Kegembiraan jelas terpancar di wajah 15 penghuni Asrama Kebajikan Ar-Rayyan di Taman Sri Amar di sini, hari ini apabila menerima sumbangan kelengkapan sekolah baharu di bawah program Titipan Kasih Khas Harian Metro (TKHM) bersama UDA Holdings Berhad (UDA).

"Warna biru di beg saya ini pun sama seperti warna Harian Metro (HM). Saya tidak sabar mahu letak buku di dalam beg ini dan membawanya ke sekolah," kata Nurul Atiqah Ibrahim, 11, seorang daripada penerima sumbangan itu.

Menurut murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Amar itu, dia seronok apabila ada pihak yang meraikannya dan rakan di rumah kebajikan berkenaan selain memberi sumbangan yang diperlukan.

"Terima kasih kerana beri bantuan kepada kami," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan itu.

Kegembiraan sama dikongsi rakannya, Siti Hawa Mohd Azlin, 10, yang teruja apabila majlis itu turut dimeriahkan dengan sesi potong kek sempena sambutan ulang tahun HM Ke-30.

"Saya suka makan kek, jadi gembira dapat menikmatinya hari ini. Ini pengalaman manis buat saya dan rakan selain kami diberi ole-ole," katanya.

Program sehari itu dihadiri Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Jawatankuasa TKHM, Husain Jahit; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Mohd Salem Kailany dan Pengarah TKHM Noor Azam Ab Aziz.

MOHD Salem Kailany (kiri) bersama Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (kanan) beramah mesra bersama penghuni selepas perasmian Program Titipan Kasih Khas Harian Metro (TKHM) Bersama UDA bersama di Asrama Kebajikan Ar-Rayyan Taman Seri Amar, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MOHD Salem Kailany (kiri) bersama Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (kanan) beramah mesra bersama penghuni selepas perasmian Program Titipan Kasih Khas Harian Metro (TKHM) Bersama UDA bersama di Asrama Kebajikan Ar-Rayyan Taman Seri Amar, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor, Norhafizah Ahmad dan Pengetua Pusat Jagaan Asrama Kebajikan Ar-Rayyan, Mohamad Halimi Kolan yang juga Pengerusi Persatuan Insani Darul Takzim.

Sementara itu, Mohamad Halimi berkata, sangat bersyukur atas keyakinan masyarakat sama ada individu perseorangan, korporat dan badan bukan kerajaan untuk membantu anak di bawah jagaan pusatnya.

Katanya, rumah kebajikan itu diwujudkan pada Januari 2011 atas inisiatifnya sebagai sukarelawan bagi membantu anak yatim dan mengutamakan pembangunan pendidikan mereka.

"Pada peringkat permulaan, agak susah untuk mengurus rumah kebajikan ini terutama dari segi kewangan. Kami mengutamakan bimbingan akademik supaya dapat diberikan secara konsisten buat mereka khususnya yang fakir miskin juga.

"Alhamdulillah, ramai yang membantu dan kini kira-kira 300 anak di bawah jagaan kami menerima manfaat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 7:14 PM