Oleh Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Program Bulan Komuniti McDonald's dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) Bersama Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) menyantuni 55 anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mary, Setapak di sini sebagai tanda prihatin serta inisiatif memberi keceriaan kepada mereka.

Program siri ketiga sempena Bulan Komuniti McDonald's dan Deepavali itu disempurnakan dengan majlis hari lahir dan penyampaian sumbangan keperluan bilik tidur iaitu katil, bantal, tilam, cadar, sarung bantal dan kipas untuk keselesaan mereka.

PENGHUNI Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mary diraikan dengan sambutan hari jadi.
PENGHUNI Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mary diraikan dengan sambutan hari jadi.

Pengarah Komunikasi Korporat McDonald's Malaysia Shamsidar Yahya berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat berkunjung ke Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mary, sekali gus membawa keceriaan kepada penghuni.

"Kami memilih rumah ini untuk menyambut hari lahir anak-anak di sini dan turut memberi duit raya, selain menyediakan kelengkapan bilik tidur bagi menceriakan penghuni sempena Deepavali.

"Program Bulan Komuniti McDonald's sebenarnya dianjurkan sejak 2017 dan kami berbesar hati dapat beri keceriaan kepada 12,000 kanak-kanak kurang bernasib baik menerusi parti hari jadi di lebih 400 rumah kebajikan kerana apabila mereka ceria, kami juga ceria.

 SHAMSIDAR  (tengah) dan  Husain (dua dari kanan) bersama  Malar (kiri) memasang cadar serta sarung bantal milik penghuni.
SHAMSIDAR (tengah) dan Husain (dua dari kanan) bersama Malar (kiri) memasang cadar serta sarung bantal milik penghuni.

"Visi dan misi McDonald's, RMHC dan Harian Metro sama jadi saya percaya jalinan ini membawa kami mendekati lebih ramai masyarakat termasuk di luar Lembah Klang," katanya selepas menyempurnakan majlis berkenaan bersama Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit.

Pada program sama sumbangan Kotak Rezeki TKHM berupa barangan keperluan asas dan barangan elektrik turut disampaikan kepada Penyelia Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mary, Malar Mathews.

Sementara itu, Husain yang juga Pengerusi Projek TKHM berbesar hati kerana dapat menjalin kerjasama dengan McDonald's dan RMHC menjayakan program berkenaan.

"Ini siri ketiga kerjasama antara Harian Metro dengan McDonald's dan RMHC selepas dua program terdahulu iaitu di Rumah Bakti Nur Syaheera, Cheras dan Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan (YKSNS) di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

"Selain barangan keperluan, kita turut hadir menyampaikan sumbangan antaranya tilam, bantal dan cadar baru untuk keselesaan penghuni.

"Siri program sama akan diteruskan selepas ini di Pulau Pinang pula," katanya.

Dalam pada itu, Malar menyambut baik inisiatif McDonald's, RMHC dan Harian Metro mengadakan program bersama penghuni kerana sudah lebih setahun rumah kebajikan seliaannya tidak menerima kunjungan pihak luar berikutan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

"Terima kasih kepada McDonald's, RMHC dan Harian Metro atas kesudian berkunjung serta mengadakan program di sini.

"Ini kali pertama program sebegini diadakan dalam tempoh pandemik dan penghuni gembira apabila diberitahu akan ada majlis dianjurkan bagi meraikan mereka di sini.

"Diharap program sebegini diteruskan lagi pada masa akan datang. Rumah kebajikan ini memerlukan RM28,000 ke RM30,000 sebulan. Selain sumbangan orang ramai, kita turut adakan jualan muruku dan biskut bagi menambah dana tetapi tidak diteruskan sebelum ini kerana situasi pandemik yang teruk," katanya.

07hmmaryy4

McDonald's bersama RMHC menyumbang RM250,000 bagi menggantikan tilam dan bantal di 25 rumah anak yatim terpilih di seluruh Malaysia bagi membolehkan penghuni menikmati keperluan bilik tidur baharu.

SHAMSIDAR  (dua dari kiri) dan Husain  (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan barangan keperluan bilik tidur kepada  Malar, baru-baru ini. - Gambar  NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
SHAMSIDAR (dua dari kiri) dan Husain (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan barangan keperluan bilik tidur kepada Malar, baru-baru ini. - Gambar NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 7:02 AM