PENGHUNI rumah anak-anak yatim Rahoma belajar dengan ditemani kipas yang rosak Kampung Datuk Keramat.
PENGHUNI rumah anak-anak yatim Rahoma belajar dengan ditemani kipas yang rosak Kampung Datuk Keramat.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Kami menggunakan barang sebaik yang mungkin, jika kipas rosak selagi ia boleh dibaiki kami akan cuba baiki juga," kata pengasas dan Presiden Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia Datuk Faridah Omar Shah.

Faridah berkata, mereka perlu menggunakan kelengkapan dan peralatan rumah dengan baik dan cermat supaya dapat digunakan lebih lama.

Menurutnya, pertubuhannya menjaga seramai 45 penghuni termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh hingga 17 tahun.

Katanya, mereka terdiri daripada anak yatim dan golongan asnaf yang ditempatkan di rumah yang disewa di Jalan Kent 3, Kampung Datuk Keramat, di sini.

"Kami akan menggunakan tilam biasanya dalam tempoh tiga tahun tetapi ada juga yang sudah guna lima tahun. Mana yang perlu ditukar kita akan tukar baharu untuk keselesaan penghuni.

"Kipas berdiri dan dinding juga sudah digunakan sejak dua tahun lalu dan dalam tempoh itu selalu rosak.

"Biasanya kami baiki saja dulu kalau tidak boleh dibaiki barulah beli baharu atau ada sumbangan orang," katanya yang dibantu tiga pekerja untuk menguruskan rumah berkenaan.

Menurutnya, dalam situasi ekonomi ketika ini dan harga barang yang meningkat mereka terpaksa berjimat cermat, namun mengakui belum sampai terputus bekalan makanan.

DATUK Farida RAHOMA di Kampung Datuk Keramat. FOTO Fariz Iswadi Ismail
DATUK Farida RAHOMA di Kampung Datuk Keramat. FOTO Fariz Iswadi Ismail

"Kami memerlukan peruntukan RM45,000 bagi perbelanjaan bulanan termasuk RM3,000 untuk sewa rumah dan RM1,200 bagi utiliti dan internet.

"Sumbangan ramai memang dapat membantu meringankan beban perbelanjaan terutama sewa rumah, utiliti, kenderaan dan pendidikan," katanya sambil memberitahu mereka berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, pihaknya juga berharap ada pihak bermurah hati mewakafkan rumah atau bangunan untuk kegunaan mereka sekali gus mengurangkan beban bulanan.

"Biasanya kontrak sewa rumah dalam tempoh 10 tahun tetapi kalau pemilik mahu jual kita terpaksa berpindah. Seperti sebelum ini kami duduk di dua lokasi lain dan rumah sekarang yang ketiga.

"Kami juga memerlukan kenderaan kerana ketika ini anak-anak ke sekolah dengan van sekolah. Jika ada kenderaan sendiri mudahlah sikit pergi ke klinik dan sekolah," katanya yang mempunyai satu lagi pusat jagaan di Subang, Selangor.

Bercerita lanjut, Faridah berkata sejak ditubuhkan pada November 2008, pertubuhan berkenaan menjaga lebih 200 penghuni yang kebanyakan sudah berkerja dan ada yang masih melanjutkan pelajaran di universiti dalam pelbagai bidang.

Faridah berkata, dia berbesar hati dan berterima kasih kepada Harian Metro yang memilih mereka pada program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang berlangsung pada Ahad ini.

"Anak-anak memang teruja kerana ini program besar dilakukan di rumah ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

"Kami juga sangat bersyukur kerana Harian Metro tidak datang dengan tangan kosong sebaliknya turut membawa bantuan. Ini adalah rezeki buat anak kami di sini," katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 562366110385 atas nama Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 6:01 AM