NORJUMA Habib Mohamed. FOTO arkib NSTP
NORJUMA Habib Mohamed. FOTO arkib NSTP
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Syarikat Fame Up memfailkan Notis Bankrap di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed.

Peguam bagi pihak Fame Up Entertainment, Muhammad Hassanuddin Roslan berkata, notis kebangkrapan itu difailkan pada 15 Ogos lalu bagi menuntut Norjuma membayar RM260,400 selepas diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Jika beliau gagal membayar, pihak kami akan failkan petisyen untuk bankrap ke atasnya," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan usaha untuk menahan usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed yang dikenakan waran tangkap oleh mahkamah gagal selepas dia tiada di kediamannya.

Untuk rekod, Fame Up Entertainment memfailkan dua saman fitnah terhadap Norjuma sejak 2019 dan 2020 berkaitan penyebaran fitnah usahawan itu pada syarikat berkenaan sekitar 2018 hingga 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 11:24 AM