DATUK Seri Najib Razak. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Najib Razak. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih belum diisytiharkan bankrap kerana kegagalannya membayar tunggakan cukai tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam Najib, Wee Yeong Kang memberitahu pemberita bahawa Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ida Rahayu Sharif memaklumkan pihak-pihak berkenaan bahawa tindakan kebankrapan terhadap Najib belum berlaku walaupun Peguam Hasil, Athari Faris Ammerry Hussein, yang bertindak untuk LHDN memohon tindakan kebankrapan itu direkodkan oleh mahkamah dengan segera.

"Kami membantah permohonan LHDN (berhubung tindakan kebangkrapan dicatat) kerana kesilapan peraturan dalam proses kebankrapan.

"Mahkamah kemudian memaklumkan bahawa tindakan muflis belum berlaku pada peringkat ini," katanya selepas pengurusan kes berkenaan melalui proses dalam talian hari ini.

Peguam itu berkata anak guamnya akan mengemukakan permohonan untuk menangguhkan prosiding kebankrapan dan mengetepikan notis bankrap sebelum 24 Mei.

Wee berkata mahkamah juga menetapkan hari yang sama (24 Mei) untuk pengurusan kes berikutnya bagi mengetahui perkembangan status permohonan.

Pada 4 Februari lalu, kerajaan memfailkan notis kebankrapan terhadap Najib kerana gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada Julai tahun lalu.

Berdasarkan notis berkenaan, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari lalu jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Pada 22 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion, selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 16 Jun untuk mendengar rayuannya.

Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun rayuan difailkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 4:19 PM