ANTARA mercun dan bunga api yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
ANTARA mercun dan bunga api yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Tindakan seorang wanita menyimpan 97 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa permit sah mengundang padah apabila dia ditahan polis di sebuah rumah dalam kawasan ladang sawit di Simpang Dua Kampung Koh, di sini, kelmarin.

Wanita tempatan berusia 60 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Kampung Acheh bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, pada 8.30 malam.

Komander PPM Wilayah Satu Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan.

"Pemeriksaan menemui 97 kotak berisi mercun dan bunga api pelbagai jenama seperti Happy Boom Red Cracker, Happy Boom Fountain dan Happy Boom Moon Rockets disimpan di rumah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM60,000.

"Semua mercun dan bunga api itu dipercayai tidak mempunyai permit serta lesen menyimpan dan tujuannya untuk dijual di pasaran tempatan," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, suspek dan barang rampasan itu kemudian diserahkan kepada BSJ IPD Manjung untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Katanya, orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat aktiviti penjualan mercun tanpa permit dan penyimpanan mercun yang tidak sah kepada pihaknya untuk diambil tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 8:10 AM