ANTARA 36 individu ditahan kerana melanggar syarat lesen dan permit penjualan bunga api dan mercun. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA 36 individu ditahan kerana melanggar syarat lesen dan permit penjualan bunga api dan mercun. FOTO Ihsan PDRM
Omar Ahmad

Johor Bahru: Seramai 36 penjual mercun dan bunga api ditahan di sekitar premis dan bazar Aidilfitri seluruh negeri dalam tempoh 28 Mac hingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua lelaki beeusia 17 hingga 55 tahun itu ditahan dalam tempoh penguatkuasaan dan pemantauan permit.

Menurutnya, seramai 36 individu yang ditahan termasuk tiga lelaki warga asing yang juga pekerja premis yang melanggar syarat lesen dan permit jualan mercun dan bunga api.

"Sejumlah 712 mercun dan bunga api pelbagai jenis dirampas dalam operasi penguatkuasaan terbabit.

"Sebanyak 33 kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 18 kertas siasatan sudah dituduh di mahkamah di bawah Peraturan 74, Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 76, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM300.

"Baki 15 kertas siasatan masih dalam proses untuk dilengkapkan untuk pertuduhan," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, pihaknya akan terus komited dalam melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan permit penjualan mercun dan bunga api yang diluluskan.

"Kita juga akan mengambil tindakan tegas mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

"Jika terdapat sebarang pelanggaran yang membabitkan individu dan organisasi yang tidak mempunyai permit, lesen memiliki, menjual dan membeli mercun atau bunga api selain yang dibenarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 4:04 PM