Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sindiket curi motosikal yang mensasarkan jenama Yamaha dan Honda di sekitar Lembah Klang tumpas susulan penahanan enam individu di beberapa lokasi berasingan di Kuala Lumpur dan Selangor pada 20 September lalu.

Penahanan semua suspek berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun itu dilakukan menerusi Op Roda yang dijalankan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil tangkapan itu, sebanyak enam motosikal pelbagai jenama ditemui selepas dilaporkan hilang di beberapa lokasi.

Menurutnya, antaranya jenama motosikal yang ditemukan iaitu Yamaha, Honda serta Suzuki dengan nilai anggaran RM 60,000.

"Selain itu beberapa komponen motosikal, tiga unit mesin grinder dan masing-masing dua unit mesin dril serta mesin hacker disyaki digunakan untuk mencuri motosikal turut dirampas.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini didalangi seorang lelaki dengan nama panggilan Ameer bersama tiga rakannya," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

ANTARA motosikal dan komponen yang dirampas daripada sindiket curi motosikal di sekitar Lembah Klang. FOTO Amiruddin Sahib.
ANTARA motosikal dan komponen yang dirampas daripada sindiket curi motosikal di sekitar Lembah Klang. FOTO Amiruddin Sahib.

Beh berkata, modus operandi sindiket adalah mengenalpasti motosikal terlebih dahulu, sebelum seorang daripada suspek yang juga mekanik akan menendang pemegang motosikal serta mematahkan kunci pendua yang dipasang pada tayar motosikal berkenaan.

"Suspek kemudiannya akan menunda motosikal itu ke sebuah stor di rumah mereka dengan bantuan seorang lagi rakan sejenayah.

"Selepas diubahsuai, semua motosikal curi itu akan dijual kepada individu berminat dengan anggaran harga RM2,000 hingga RM5,000 bergantung kepada model motosikal berkenaan," katanya.

Beliau berkata, selain itu, suspek turut menjual komponen motosikal yang dicuri kepada individu berminat dengan anggaran harga RM50 hingga RM4,000 bergantung kepada permintaan.

"Semua suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan direman bermula 21 September sehingga 28 hari ini bagi membantu siasatan.

"Tangkapan kemudiannya akan diserah kepada IPD Gombak bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Beh berkata, susulan daripada operasi yang dijalankan ini, polis berjaya menyelesaikan sepuluh kes kecurian iaitu enam kes di kawasan Sentul dan Gombak (empat kes).

"Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan sindiket kecurian motosikal diminta untuk menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 12:05 PM
BEH bersama pegawainya menunjukkan komponen motosikal yang dicuri pada sidang media di IPD Sentul. FOTO Amiruddin Sahib.
BEH bersama pegawainya menunjukkan komponen motosikal yang dicuri pada sidang media di IPD Sentul. FOTO Amiruddin Sahib.