IHSAN Polis Diraja Malaysia
IHSAN Polis Diraja Malaysia
Kalidevi Mogan Kumarappa


POLIS menemui 24 rangka dan dua komponen enjin motosikal di dalam Sungai Kertas, Batu Caves, susulan penahanan tujuh ahli kumpulan curi motosikal sejak 13 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Mohamed Rafiq Muhamad Mustafa, berkata tangkapan pertama dilakukan pada 12. 30 pagi, 13 September lalu.

Katanya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sentul menahan dua lelaki berusia 17 dan 20 tahun di kawasan Batu Caves, Selangor.

Katanya, susulan daripada penahanan itu, lima lelaki tempatan ditahan di sekitar Selayang dan Lembah Klang yang dipercayai suspek utama kes kecurian motosikal.

"Hasil soal siasat terhadap semua suspek, mereka menunjukkan lokasi rangka motosikal di dalam Sungai Kertas, Kampung Laksamana, Jalan Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.

“Dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Unit Scuba, Jalan Hang Tuah, proses mencari dan mengeluarkan rangka motosikal dijalankan,” katanya.

Menurutnya, geng itu dipercayai aktif mencuri motosikal di sekitar Lembah Klang.

Katanya, semua suspek tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan disyaki mencari wang mudah dengan mencuri motosikal.

"Semua komponen motosikal yang dileraikan akan dijual kepada pembeli di sekitar Lembah Klang yang mencari alat ganti yang murah dan tulen, " katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 12:16 PM