Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Seorang petani didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberi rasuah kepada anggota polis trafik supaya tidak mengambil tindakan ke atasnya yang ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, April lalu.

Tertuduh, Fooh Poh Yaw, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Kantonis di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Fooh turut berhadapan dengan hukuman penjara satu bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Fooh didakwa secara rasuah menawarkan suatu suapan iaitu, wang tunai sebanyak RM100 kepada Sarjan Roslan Khan Md Sharif yang bertugas di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

FOOH Poh Yaw didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah. FOTO L Manimaran
FOOH Poh Yaw didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah. FOTO L Manimaran

Suapan berkenaan ditawarkan sebagai balasan untuk anggota polis itu tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

Tertuduh melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Trafik IPD Ipoh, Jalan Chamberlein Hulu, kira-kira jam 1 pagi, 29 April lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Fooh membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 11:00 AM