Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Bekas pembantu tadbir kewangan Majlis Daerah Kampar (MDKpr) didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan pemalsuan dokumen berkaitan hasil kutipan bayaran petak parkir, 10 tahun lalu.

Hakim S Indra Nehru menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, Ruddy Nezeri Kamarudin, 38, yang pada mulanya dituduh dengan 34 pertuduhan membabitkan kesalahan serupa.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan curang memalsukan dokumen sebagai tulen iaitu resit bayaran terima hasil kupon letak kereta yang dicetak di atas bil Terimaan Pelbagai Tahun 2011 membabitkan nilai keseluruhan RM27,852.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Kompleks Pentadbiran MDKpr, Jalan Iskandar antara 10 Februari 2011 hingga 2 Ogos tahun yang sama yang mana tertuduh ketika itu berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di Unit Kupon, Jabatan Perbendaharaan & Sistem Maklumat, MDKpr.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim menetapkan denda RM3,000 bagi setiap daripada enam pertuduhan tertuduh mengaku bersalah serta denda RM2,000 bagi satu lagi pertuduhan (pertuduhan ketujuh), selain menetapkan hukuman penjara dua bulan jika tertuduh gagal melangsaikan setiap satu daripada denda yang dikenakan ke atasnya itu.

Manakala bagi 27 lagi pertuduhan yang tertuduh mengaku tidak bersalah, mahkamah menetapkan tertuduh dilepas dan dibebaskan (TIC) atas pertimbangan mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Tertuduh membayar denda yang dikenakan terhadapnya.

Sementara itu mengikut fakta kes, tertuduh memalsukan sebanyak 13,926 buku kupon letak kereta dengan mencetak bil terimaan pelbagai secara cetakan nombor resit yang berulang menyebabkan nombor terbabit saling bertindih, sebelum mengemukakan Penyata Pembayaran Komisen Jualan Kupon Letak Kereta bagi ejen yang dilantik kepada pihak pentadbiran dan kewangan MDKpr.

ANGGOTA polis mengiringi tertuduh di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Sharul Hafiz Zam
ANGGOTA polis mengiringi tertuduh di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Sharul Hafiz Zam

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 12:16 PM