Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Lelaki Bangladesh didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah memberi suapan RM200 kepada anggota polis bagi mengelakkan tindakan saman diambil terhadapnya pada Februari lalu.

Hakim M Bakri Abd Majid membuat keputusan itu selepas tertuduh, Sirajul Nojrulislam, 42, yang merupakan pekerja kilang mengaku salah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan pilihan itu, tertuduh didakwa memberi suapan wang tunai sebanyak RM200 kepada seorang anggota polis berpangkat Koperal yang merupakan seorang pegawai badan awam iaitu Polis Diraja Malaysia.

Perbuatan itu dilakukan pada 5.20 petang, 17 Februari lalu di Jalan Batu 10 Segari, Manjung.

Suapan itu adalah sebagai satu balasan supaya saman tidak dikeluarkan terhadap tertuduh atas kesalahan tidak memakai topi keledar ketika tertuduh menunggang motosikal bernombor pendaftaran ACD 9215 yang merupakan satu kesalahan mengikut Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973.

Sebelum itu, tertuduh didakwa dengan pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atas dakwaan secara rasuah memberi suapan namun butiran lanjut pertuduhan adalah sama seperti pertuduhan pilihan yang dibacakan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Maziyah Mansor, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

M Bakri turut menetapkan hukuman sebulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda terbabit.

Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah sebanyak RM200 bagi kes ini dilucuthak kepada kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 40(1)(a) Akta SPRM 2009.

TERTUDUH (kanan) di Mahkamah Sesyan Ipoh. FOTO M Manimaran
TERTUDUH (kanan) di Mahkamah Sesyan Ipoh. FOTO M Manimaran

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 11:46 AM