Siti Rohana Idris

Pasir Mas: Jika dulu penternakan biri-biri garut dijadikannya sebagai hobi dan pendapatan sampingan saja tapi kini ia sudah mengambil alih kerja hakikinya sebagai tukang rumah.

Memulakan penternakan biri-biri garut iaitu haiwan campuran tiga baka yang berasal dari Indonesia sejak 10 tahun lalu, Mohd Azlan Ismail, 46, membeli sepasang induk dengan harga RM1,000 setiap satu untuk dibela sebagai hobi.

Melihatkan kecantikan fizikal biri-biri garut yang terhasil daripada campuran baka Merino, Damara dan tempatan, Mohd Azlan tidak teragak-agak melabur sejumlah wang simpanan untuk menternak haiwan itu dengan lebih fokus.

"Selain ternakan untuk hobi, biri-biri garut ini juga saya jual dan harganya sekitar RM4,000 hingga RM6,000 seekor bergantung kepada fizikalnya.

"Ukuran yang paling dilihat adalah daripada segi tanduknya iaitu mesti bersaiz besar, berwarna hitam dan putih atau kedua-duanya sekali serta bentuk tanduk itu sendiri," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Azlan berkata, setiap hari dia akan menggilap tanduk 25 biri-biri garut peliharaannya dengan menggunakan dua bahan asas iaitu minyak masak dan kicap manakala jika ada tanduk biri-biri garut yang agak 'lari', dia akan membetulkannya semula menggunakan peralatan khas.

MOHD Azlan menunjukkan biri-biri garut peliharaannya ketika ditemui pada program Himpunan Domba Garut di Tendong di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Azlan menunjukkan biri-biri garut peliharaannya ketika ditemui pada program Himpunan Domba Garut di Tendong di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Selain tanduk, bulu haiwan itu juga perlu dijaga dengan kerap dicuci atau dimesin dan haiwan itu turut dimandikan seminggu sekali.

"Penjagaan biri-biri garut sama saja dengan biri-biri atau kambing tempatan dan makanannya juga hanya rumput dan dedak," katanya yang ditemui ketika program Himpunan Domba Garut di Tendong di sini, yang menghimpunkan 40 biri-biri itu.

Himpunan yang bertujuan memperkenalkan biri-biri garut dengan lebih meluas kepada orang ramai selain menggalakkan lebih ramai penternak haiwan itu turut dihadiri Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Seorang lagi penternak, Mohd Mohaimi Mohamad, 34, berkata, penternakan yang baru memasuki tahun kedua sudah menampakkan hasil apabila dia memiliki 35 ekor biri-biri garut.

Dia yang juga anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Tumpat, berkata, jika sebelum ini ia bermula sekadar minat, kini penternakan biri-biri garut dilihat semakin berpotensi untuk dijadikan pendapatan sampingannya.

"Saya tertarik dengan kelainan yang ada pada biri-biri garut ini menyebabkan saya tidak teragak-agak untuk memeliharanya walaupun sudah ada pekerjaan tetap," katanya yang memiliki beberapa pekerja untuk menjaga haiwan peliharaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 1:40 PM