GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengamal media diseru supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan ketika bertugas bagi mengawal serta mengelak penularan jangkitan Covid-19.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) Farah Marshita Abdul Patah berkata perkara itu penting kerana terdapat pengamal media yang positif Covid-19 selepas membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.

"Mana-mana petugas media yang baru pulang dari kawasan berisiko atau mempunyai gejala Covid-19 dinasihatkan untuk segera melakukan ujian saringan di hospital dan mematuhi arahan kuarantin wajib.

"NUJM mengingatkan setiap petugas media supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika membuat liputan selain menggunakan cecair pembasmi kuman dan menjaga kebersihan diri.

"Ingat bahawa kita semua adalah petugas barisan hadapan dan setiap daripada kita mempunyai peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan menjaga negara," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) menerusi kenyataan di Facebook memohon kerjasama semua pihak terutama pemimpin negara yang menjemput media membuat liputan sesebuah acara supaya mengambil maklum tentang status kesihatan masing-masing.

"Sekiranya terdapat keraguan, penjelasan segera perlu diberikan supaya langkah pencegahan dapat diambil oleh mana-mana pengamal media bertugas yang berisiko sebagai kontak rapat individu tersebut.

"Tidak dapat dinafikan kesibukan pemimpin-pemimpin negara akhir-akhir ini secara tidak langsung telah meningkatkan risiko jangkitan terutama jika terdapat rekod perjalanan ke daerah yang mencatatkan jumlah kes positif tinggi.

"Pemakluman status kesihatan mereka di media sosial membantu wartawan dan orang awam yang pernah berinteraksi dengan mereka," menurut Geramm.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 9:29 PM