RAUS beramah mesra dengan pengamal media, semalam.
RAUS beramah mesra dengan pengamal media, semalam.
HM Digital

Kuala Lumpur: Latihan dan sistem pengurusan hakim akan terus diperkasakan bagi meningkatkan kualiti hakim di semua peringkat serta mengurangkan kekhilafan sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat.

Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif berkata, keadilan bukan saja perlu dilaksanakan malah perlu dilihat dilaksanakan dengan baik.

Menurutnya, seiring perkembangan teknologi terkini dan persekitaran, latihan itu bertujuan melahirkan hakim yang pakar dalam bidang tertentu bagi memenuhi kehendak semasa.

“Kita melatih hakim untuk mengurangkan kekhilafan. Apabila kekhilafan dapat diminimumkan, keyakinan masyarakat akan meningkat.

“Latihan diadakan di Akademi Kehakiman pada hujung minggu mengikut topik tertentu dan ia bertujuan mengelak berlaku kes ditangguhkan berikutan hakim menjalani kursus latihan.

“Perbincangan yang lebih mendalam mengikut topik ditentukan dan kes sebenar akan digunakan sebagai contoh untuk penghujahan,” katanya ketika berucap dalam Bicara Makan Tengah Hari Bersama Pengarang dan Pengamal Media bertajuk Perubahan Kehakiman Oleh Badan Kehakiman Malaysia anjuran bersama Institut Kewartawanan Malaysia (MPI) dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini, semalam.

Hadir sama Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Dr Chamil Wariya.

Turut hadir Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) Yushaimi Maulud Yahaya, Penulis Khas Kanan, Berita dan Ehwal Semasa Harian Metro Tuan Asri Tuan Hussein, Pengarang Bersekutu Berita, Berita Harian Azhar Abu Samah dan M Thillinadan serta Pengarang Eksekutif Berita TV9 Wan Sabariah Shikh Ali.

Dalam pada itu, Raus berkata, badan kehakiman negara bebas daripada pengaruh mana-mana pihak termasuk kerajaan dan parti politik.

“Kebebasan badan kehakiman sangat penting dalam mana-mana institusi. Kami tidak mengamalkan memberi arahan kepada hakim lain, atau cuba mempengaruhi keputusan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 5:51 AM