TAN Sri Musa Hassan. FOTO arkib NSTP
TAN Sri Musa Hassan. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


Sepang: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menolak dakwaan pihaknya mengutip dana daripada orang ramai bagi menyelamat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan berkata, misi menyelamat itu sebenarnya dibiayai oleh individu, badan bukan kerajaan (NGO) dan kutipan daripada ahli MHO.

Menurutnya, tohmahan tidak berasas itu sengaja diada-adakan bertujuan menjatuhkan MHO yang sebelum ini berjaya menyelamatkan dan membawa pulang ramai mangsa.

Katanya, MHO akan meneliti tohmahan dilemparkan itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang di mahkamah.

"Kita menyeru kepada pihak tidak bertanggungjawab agar menghentikan perbuatan buruk itu sebelum dikenakan tindakan," katanya ketika menyambut kepulangan tiga mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hasim.

Sementara itu, Hishamuddin menasihatkan ahli keluarga agar tidak membayar wang tebusan kepada pihak lain yang menyatakan boleh membantu menyelamatkan mangsa di luar negara.

Menurutnya, ahli keluarga yang berdepan masalah diminta menghubungi MHO bagi menyalurkan maklumat dan pihaknya akan cuba sedaya-upaya membantu membawa pulang mangsa ke tanah air.

Katanya, MHO mempunyai cara sendiri untuk membawa pulang mangsa dengan bantuan individu, NGO dan rakan bagi membiayai tiket penerbangan termasuk menyediakan makan minum sepanjang perjalanan.

"Sesi menyelamat tidak melanggar peraturan Imigresen dan setiap mangsa yang berjaya diselamatkan akan diserahkan terlebih dahulu kepada pihak berkuasa sesebuah negara kerana perkara itu menjadi prosedur operasi standard (SOP) bagi tujuan soal siasat dan dokumentasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 11:23 AM