Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dipaksa bekerja selama 18 jam setiap hari selain diugut dan dipukul.

Nasib itu menimpa rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Laos sejak tiga bulan lalu.

Menceritakan kejadian, ahli keluarga mangsa dikenali Low Teck Lin, 44, berkata, anak saudaranya berusia 24 tahun awalnya mahu bekerja di Dubai, namun dibawa ke Thailand dan akhirnya dijual kepada ejen di Laos.

"Dia maklumkan dipaksa bekerja sehingga 18 jam selain dipaksa membotakkan kepala. Tidur pun enam jam sahaja, kalau mengantuk akan dipukul.

"Malah, sindiket bagi masa tiga bulan untuk capai sasaran mangsa penipuan, selain ugut dia akan dijual kepada ejen lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemasyarakatan Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agong MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihak sindiket meminta bayaran antara RM70,000 hingga RM100,000 sebagai syarat untuk melepaskan mangsa.

"Ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dihantar untuk berunding tetapi rundingan itu membuka kepada yuran tebusan, manakala kebanyakan mangsa ini daripada dalam kalangan keluarga miskin.

"Jadi tidak mampu untuk membayar RM70,000 ke RM100,000 ini," katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan kerajaan dalam menangani isu itu sebagai tidak memadai dan kurang efektif.

Hishamuddin menuntut tindakan lebih drastik diambil selain menggunakan hubungan diplomatik dengan Asean untuk mencari penyelesaian terbaik.

"Negara-negara terbabit adalah ahli dalam Asean, kalau kita boleh ada hubungan perdagangan kenapa tak boleh ada hubungan keselamatan?" katanya.

Justeru itu, katanya, MHO akan menghantar surat rasmi kepada Kementerian Luar Negara dan kedutaan negara-negara terbabit bagi menuntut penyelesaian yang lebih baik, sekali gus mengakhiri sindiket begitu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 5:41 PM
Hishamuddin (tengah) bersama ahli keluarga mangsa yang ditipu sindiket pekerjaan di luar negara menunjukkan gambar mangsa pada sidang media hari ini. FOTO Hazreen Mohamad.
Hishamuddin (tengah) bersama ahli keluarga mangsa yang ditipu sindiket pekerjaan di luar negara menunjukkan gambar mangsa pada sidang media hari ini. FOTO Hazreen Mohamad.