ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan dua mayat lelaki yang tersepit dalam Perodua Viva yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Pondok Labu.FOTO Ihsan PDRM
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan dua mayat lelaki yang tersepit dalam Perodua Viva yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Pondok Labu.FOTO Ihsan PDRM
Izad Thaqif Hassan

Kulim: Dua remaja lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta Perodua Viva dinaiki terbabas ke dalam longkang di Jalan Pondok Labu di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 3.51 pagi itu, pemandu serta penumpang hadapan berusia 18 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang berusia 20-an cedera parah di muka dan kepala.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dinaiki semua mangsa dari arah pekan Kulim menuju Taman Selasih hilang kawalan dan terbabas.

"Kereta terbabit hilang kawalan ketika tiba di satu selekoh berhampiran sebuah kedai makan sebelum terbabas dan masuk ke dalam longkang di bahu kanan jalan menyebabkan semua mangsa tersepit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pegawai perubatan mengesahkan dua daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

"Seorang daripada mangsa yang juga penumpang belakang parah di muka serta kepada dan dihantar ke hospital.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 3:27 PM