FOTO Ihsan Pembaca
FOTO Ihsan Pembaca
Muhamaad Razis Ismail


WANITA maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum termasuk di dalam longkang di Kilometer 87, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Kuala Krai, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa Hasmah Yusuf, 45, maut ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK) akibat parah di kepala.

Suami dan lima anaknya turut cedera dan menjalani rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, ketika kejadian, mangsa dan keluarga yang menaiki kereta Perodua Kancil dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Manek Urai, Kuala Krai.

"Berdasarkan keterangan salah seorang anak mangsa, apabila tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum termasuk ke dalam longkang.

"Pemandu kereta maut ketika menerima rawatan di wad kecemasan di HKK manakala suami serta lima anaknya yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 10:29 AM