MAYAT mangsa tercampak keluar. FOTO ihsan Bomba
MAYAT mangsa tercampak keluar. FOTO ihsan Bomba
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Penumpang maut apabila kenderaan pacuan empat roda dinaikinya terbalik selepas terbabit kemalangan dengan kereta berhampiran Plaza Tol Lipat Kajang, Jasin, hari ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa, Wong Teck Hin, 60, yang duduk di tempat penumpang hadapan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala selepas dihempap kenderaan itu.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian kenderaan dinaiki mangsa bersama tiga lagi rakannya dalam perjalanan dari arah Plaza Tol Lipat Kajang menghala ke Jasin sebelum berlanggar dengan kereta dipandu lelaki berusia 40-an.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Jasin menghala ke Plaza Tol Lipat Kajang tidak sempat mengelak kenderaan dinaiki mangsa yang memasuki simpang kanan.

"Akibat perlanggaran itu kenderaan pacuan empat roda berkenaan terbalik menyebabkan mangsa tercampak keluar lalu dihempap manakala kereta terbabas ke bahu jalan dan pemandunya tersepit," katanya.

Menurutnya, tiga lagi rakannya selamat manakala pemandu kereta cedera di kaki dan kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Sampornak Ismail mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 7:45 PM