WONG Pun Sian menunjukkan rampasan rokok dan arak dalam tiga siri serbuan berasingan.
WONG Pun Sian menunjukkan rampasan rokok dan arak dalam tiga siri serbuan berasingan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Simpan stok dalam rumah bagi mengaburi pihak berkuasa dan memudahkan stok dibawa keluar.

Itu taktik sindiket kontraban rokok dan arak seludup yang berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit I dalam beberapa siri serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah JKDM, Wong Pun Sian berkata, rokok dan arak yang dirampas dalam tiga serbuan itu berjumlah RM538,668 dengan cukai dan duti RM2.7 juta.

"Serbuan pertama pada 20 hingga 24 Mac lalu menerusi Ops Buih yang memfokus rantaian aktiviti menyimpan dan menjual barang tidak berkastam iaitu minuman keras di kawasan Lembah Klang.

"Hasil operasi yang dijalankan menyita sejumlah minuman keras dengan anggaran nilai sebanyak RM82,356 dan melibatkan anggaran cukai sebanyak RM359,770," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, serbuan kedua pula dijalankan pada 5 April lalu berdasarkan maklumat risikan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra).

"Pasukan operasi menyerbu sebuah rumah di Kampung Parit Mahang, Jeram, Selangor. Pemeriksaan di sebuah kabin kontena menemukan rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam berjumlah 381,840 batang yang dianggarkan bernilai RM30,848 membabitkan cukai dan duti yang dianggarkan berjumlah RM255,100.

"Seorang lelaki dipercayai pemilik rumah turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan rokok putih terbabit," katanya.

Wong berkata, serbuan ketiga pula dijalankan pada 6 April di sebuah rumah di Taman Mutiara Barat, Cheras yang dijadikan stor penyimpanan rokok putih dan kretek.

"Pemeriksaan terhadap rumah terbabit menemukan muatan berisi 300 peti rokok putih dan kretek berbagai jenama yang disyaki tidak berkastam berjumlah 3,112,800 batang dengan anggaran nilai sebanyak RM425,46, membabitkan jumlah cukai dan duti RM2,096,994.00.

"Serbuan yang dilakukan bersama pasukan khas Cobra telah menemui sejumlah rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam kerana tidak memiliki setem cukai yang sah," katanya.

Beliau meminta orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 2:01 PM