Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah mematahkan cubaan menyeludup empat kontena berisi minuman keras tidak bercukai dalam tiga kes berasingan di Pelabuhan Sepanggar.

Kesemua rampasan yang dianggarkan bernilai RM1.136 juta itu dilakukan pasukan penguatkuasaan Cawangan Operasi JKDM Kota Kinabalu dengan kerjasama Cawangan Import Eksport JKDM Pelabuhan Sepanggar pada 11, 16 dan 17 Ogos lalu.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah Cheong Yu Min berkata, rampasan pertama dilakukan susulan pemeriksaan menerusi mesin pengimbas yang mengesan imej meragukan terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar pada 9.45 pagi, 11 Ogos lalu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap kontena itu kemudiannya menemukan sebanyak 18,236 liter minuman keras yang disyaki tidak bercukai dengan anggaran nilai keseluruhan RM284,139.95.

"Rampasan kedua turut dibuat selepas mesin pengimbas mengesan imej meragukan terhadap dua kontena yang ditahan pasukan penguatkuasaan di pelabuan itu pada 9.05 pagi 16 Ogos lalu.

Cheong Yu Min menunjukkan minuman keras yang dirampas di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Cheong Yu Min menunjukkan minuman keras yang dirampas di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan

"Pemeriksaan mendapati kedua kontena itu mengandungi minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM594,410.86," katanya ketika sidang media di Pelabuhan Sepanggar di sini, hari ini.

Menurutnya, rampasan ketiga pula dilakukan pada 11.10 pagi, 17 Ogos lalu apabila pasukan penguatkuasaan menahan sebuah kontena yang disyaki digunakan untuk menyeludup masuk minuman keras di pelabuhan itu.

"Berdasarkan pemeriksaan lanjut yang dijalankan, sejumlah 16,632 liter minuman keras ditemukan dengan anggaran nilai harga selepas duti dan cukai berjumlah RM257,862.53.

"Jumlah keseluruhan rampasan keempat-empat kontena berisi minuman keras ini yang disyaki cuba diseludup masuk dianggarkan bernilai RM1,136,413.04," katanya.

Menurutnya, modus operandi bagi ketiga-tiga kes itu adalah dengan cara mengikrar dagangan import terbabit dengan barang lain bagi tujuan menyeludup dalam usaha mengaburi pihak berkuasa.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(a) Akta Kastam 1967," katanya.

Sementara itu, Cheong Yu Kin berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

"JKDM menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.

"Pihak JKDM juga memberi jaminan, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 12:17 PM