GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang pesara berputih mata selepas wang simpanannya lebih RM1.8 juta lesap akibat terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian melalui kaedah penghantaran barang, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, warga emas lelaki berusia 67 tahun itu mendakwa berkenalan dengan seorang wanita warga Brazil menerusi laman sosial Facebook (FB).

"Mangsa adalah pesara syarikat swasta dan menyatakan mengenali seorang wanita yang mendakwa warga Brazil yang bekerja sebagai doktor di United Kingdom melalui mesej di FB, Mei lalu.

"Mereka dikatakan berkenalan kira-kira dua minggu sebelum wanita itu berjanji untuk mengirimkan barangan dan wang tunai berjumlah AS$2.8 juta (lebih RM12.5 juta) kepada mangsa.

"Namun, pada 13 Jun lalu, seorang wanita lain yang mengaku sebagai ejen penghantaran barang menghubungi mangsa dan meminta mangsa membuat bayaran caj servis penghantaran bagi barangan dan wang tunai yang dijanjikan suspek itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya melakukan 11 transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke beberapa akaun bank yang diberikan oleh ejen penghantaran itu membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM1,871,540.

Menurut Rupiah, mangsa hanya menyedari ditipu apabila tidak menerima barangan dan wang tunai yang dijanjikan suspek sehingga kini, selain wanita yang mendakwa ejen penghantaran itu gagal dihubungi.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 10:13 PM