Gambar hiasan
Gambar hiasan
Agensi

Jakarta: Malang nasib seorang pesakit Covid-19 di Indonesia apabila menjadi mangsa penipuan sindiket yang cuba mengaut untung atas angin dengan menjual tangki oksigen.

Portal Kompas melaporkan, lebih menyedihkan apabila pesakit itu diperdaya ketika dia sangat memerlukan tangki oksigen kerana mengalami gejala sesak nafas.

Mangsa dilaporkan sudah membuat bayaran dengan memindahkan wang sebanyak 7.5 juta rupiah (kira-kira RM2,190).

Namun, suspek tidak membuat penghantaran tangki oksigen seperti yang dijanjikan.

Suspek yang berasal dari daerah Gresik, Jawa Timur, sudah ditahan polis daripada Unit Siasatan Jenayah Kota Besar Surabaya.

Difahamkan, mangsa dan suspek berkenalan menerusi Facebook (FB).

Ketika itu, mangsa memerlukan tangki oksigen dan cuba membelinya secara dalam talian.

Hasil carian di laman sosial berkenaan, mangsa menemui akaun bernama Meriang Hati yang menjual tangki oksigen.

"Disebabkan mangsa sangat memerlukannya maka dia bersetuju membeli seterusnya membuat pemindahan wang sebanyak 7.5 juta rupiah," kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Surabaya, Oki Ahadian

Menurut Oki, walaupun bayaran sudah dibuat, suspek tidak menghantar barangan dipesan dan ia menyebabkan mangsa terpaksa menunggu lama.

Mangsa cuba menghubungi suspek, namun tidak berjaya.

"Mangsa akhirnya membuat laporan dan sebuah pasukan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan," katanya.

Ketika tangkapan dibuat, polis merampas barangan boleh dijadikan bukti rekod perbualan di FB, rekod transaksi, baki wang 2.5 juta (kira-kira RM729) dan telefon bimbit digunakan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 6:35 AM