PERTEMBUNGAN di antara gajah liar dan manusia terus berpanjangan. FOTO Arkib NSTP
PERTEMBUNGAN di antara gajah liar dan manusia terus berpanjangan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

ANCAMAN utama populasi gajah di negara ini bukan pemburu haram sebaliknya berpunca akibat pembalakan dan pembukaan tanah bagi pelbagai tujuan.

Ketua Pengarah Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, ancaman utama gajah di Semenanjung Malaysia adalah kehilangan habitat dan fragmentasi hutan yang menyumbang kepada pembunuhan akibat konflik mamalia itu dengan manusia.

Beliau berkata, peningkatan populasi penduduk masa kini mendorong kepada peningkatan perubahan guna tanah dari kawasan hutan ke kawasan penempatan, pertanian dan perladangan berskala besar, pembalakan, perlombongan dan kemudahan infrastruktur (jalan raya dan empangan) bagi tujuan peningkatan sosio ekonomi.

"Pertembungan kepada sumber terhad ini mewujudkan konflik dengan manusia di kawasan perkampungan dan perladangan.

"Gajah yang kehilangan habitat dan sumber makanan akan mula keluar dari habitat asalnya dan memasuki kawasan ladang pertanian, kebun dan kampung berhampiran dengan hutan.

"Kehadiran gajah liar ini mewujudkan ketakutan dan ancaman keselamatan kepada penduduk sehingga mendorong tindakan mencederakan, meracun malah membunuh gajah liar ini," katanya.

Kadir berkata, pemburuan haram gajah bukan ancaman utama populasi gajah berikutan rekod bagi 2015 hingga 2018 mendapati hanya 11 kes kematian gajah dikenal pasti akibat pemburuan secara haram manakala 13 kes membabitkan pembunuhan secara haram bukan dilakukan pemburu.

"Secara purata, sejumlah RM1.8 juta setahun diperuntukkan kerajaan bagi tujuan pengurusan gajah di Semenanjung Malaysia membabitkan aktiviti mitigasi konflik dan kesedaran awam.

"Selain itu, sebanyak RM15.3 juta dibelanjakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016-2020) melalui pembinaan kemudahan bagi meningkatkan keselesaan dan menjamin kebajikan gajah di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah (PKGK) di Lanchang, Pahang yang kini menempatkan 30 gajah liar yang diselamatkan.

"Antara komponen dibangunkan adalah tiga perumahan gajah yang menepati piawaian antarabangsa American Zoo Association (AZA) dan 10 hektar kawasan lepas bebas gajah.

"Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) melalui projek Malaysian Mega Biodiversity Hub (MMBH) turut memperuntukkan RM4.08 juta bagi kerja menaiktaraf kemudahan infrastruktur pelancongan bagi menyokong aktiviti kesedaran awam termasuk bagi menyediakan kemudahan yang mesra orang kelainan upaya (OKU) di PKGK Kuala Gandah," katanya.

Menurutnya, sebanyak RM11 juta diperuntukkan untuk membangunkan Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka di Terengganu dan terkini yang dalam pembinaan adalah pembangunan Santuari Gajah Johor (JES) di Kota Tinggi, Johor bernilai hampir RM30 juta.

ANGGOTA Perhilitan berusaha memindahkan gajah yang mendatangkan gangguan. FOTO Arkib NSTP
ANGGOTA Perhilitan berusaha memindahkan gajah yang mendatangkan gangguan. FOTO Arkib NSTP

199 aduan konflik

Adakah ia kebetulan apabila sambutan Hari Gajah Sedunia (World Elephant Day) yang disambut 12 Ogos setiap tahun dicemari dengan deretan kes serangan gajah terhadap manusia.

Bermula dengan serangan gajah menyebabkan seorang lelaki maut di Kilometer 51, Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing, Johor, 17 April lalu, ia diikuti seorang anggota tentera turut cedera parah diserang ketika melakukan tugasan rondaan di kawasan Hutan Royal Belum, Perak, 20 Julai lalu.

Bagaimanapun, ia diikuti seorang pengawal keselamatan ditemui mati manakala keretanya dirosakkan sekumpulan gajah liar di lombong pasir di Batu 6, Simpang Perani, Mawai, Kota Tinggi, Johor pada 27 Julai lalu.

Kes ini belum mengambil kira insiden serangan gajah terhadap pemandu kenderaan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, Perak dan kes gajah mengejar dua pengawal keselamatan dan merosakkan motosikal di ladang LGM, Kota Tinggi, 24 Jun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, bermula Januari hingga Jun lalu, Perhilitan menerima 199 aduan membabitkan konflik gajah dan manusia di seluruh negara.

Beliau berkata, jumlah tertinggi membabitkan aduan di Kelantan sebanyak 49 kes, Pahang (40 kes), Perak (38 kes), Johor (35 kes), Terengganu (33 kes) dan Kedah (4 kes).

ANTARA gajah liar yang dikesan mengganggu penempatan manusia sebelum ditangkap Perhilitan. FOTO Arkib NSTP
ANTARA gajah liar yang dikesan mengganggu penempatan manusia sebelum ditangkap Perhilitan. FOTO Arkib NSTP

"Sebelum awal tahun 1970-an, gajah dibenarkan diburu dan pihak berkuasa menjadikan tembak mati gajah sebagai antara kaedah utama menangani konflik gajah ketika itu.

"Namun selaras penguatkuasaan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76), lesen pemburuan gajah dihentikan dan Unit Kebajikan Gajah ditubuhkan. Kaedah translokasi gajah diperkenalkan menggantikan tindakan tembak mati gajah," katanya.

Menurutnya, sehingga 1989, beratus operasi tangkap pindah dijalankan oleh Unit Kebajikan Gajah yang pada masa itu berpindah randah dengan menjadikan kawasan konflik seperti di Felda Gugusan Jengka, Pahang dan Hulu Terengganu sebagai 'pusat' operasi.

"Menjelang awal tahun 1990-an, peningkatan konflik gajah semakin meningkat akibat pembukaan tanah bagi tujuan perladangan dan pertanian di setiap negeri di Semenanjung Malaysia.

"Faktor ini mendorong keperluan penubuhan pusat operasi khusus yang tetap dan strategik dari segi lokasinya.

Pada tahun 1989, Pusat Konservasi Gajah Jabatan (PKGK) dibangunkan di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang yang bukan sahaja terletak di dalam tanah Rezab Hidupan Liar Jabatan malah berada di tengah Semenanjung Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua PKGK Kuala Gandah Lanchang, Mohamad Khairul Adha Mat Amin berkata, PKGK juga menjadi kawasan utama penempatan bagi gajah denak (gajah yang membantu ketika operasi pemindahan gajah liar) dan gajah diselamatkan terutamanya yang cedera dan anak-anak gajah sesat atau ditinggalkan kumpulan.

"Unit Tangkapan Gajah juga dikembangkan dengan penubuhan di setiap negeri yang mempunyai masalah konflik manusia dan gajah.

"Kemahiran dan kepakaran Unit Tangkapan Gajah jabatan juga dikongsi bersama Negara-negara jiran seperti Indonesia, China, Kemboja, Singapura dan Vietnam.

"Selaras perkembangan kemahiran, fungsi dan peranan itu, penempatan Unit Tangkapan Gajah di Kuala Gandah diisytiharkan sebagai Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan pada tahun 2010," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 7:01 AM