Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Mengelak dikenakan denda oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah alasan popular digunakan pengadu yang membuat laporan polis palsu kononnya diragut dan disamun.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sebanyak 68 laporan palsu diterima pihaknya sepanjang tempoh Januari hingga 21 November lalu.

Menurutnya, kesemua laporan dibuat berhubung jenayah samun dan ragut yang membabitkan individu kehilangan Mykad.

"Hasil siasatan mendapati kebanyakan individu terbabit membuat laporan polis palsu dengan menyatakan diragut atau disamun.

"Kesahihan setiap laporan yang dibuat diketahui selepas pegawai penyiasat menyiasat lebih lanjut mengenai kejadian dilaporkan pengadu.

BEH Eng Lai ketika sidang media kes penipuan ubah suai rumah di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul. FOTO Owee Ah Chun.
BEH Eng Lai ketika sidang media kes penipuan ubah suai rumah di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul. FOTO Owee Ah Chun.

"Kebanyakan kejadian itu adalah rekaan semata-mata dan kehilangan Mykad berlaku atas kecuaian sendiri," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.

Berikutan sikap tidak bertanggungjawab pengadu yang membuat laporan palsu itu, Beh berkata, berlaku pembaziran masa dan tenaga pegawai penyiasat serta wang kerajaan bagi menjalankan siasatan kes yang tidak wujud.

"Setakat ini, seramai 59 individu sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga keamanan serta ketenteraman.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 4:57 PM