Gambar hiasan
Gambar hiasan
Oleh Juwan Riduan


Papar: Seorang pesara wanita kerugian RM352,050 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai 'pegawai bank'.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, mangsa yang juga pesara kerajaan berusia 62 tahun menerima SMS jam 9.07 pagi pada 17 Ogos lalu yang mengatakan dia ada membuat pembelian secara dalam talian.

Katanya, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon yang disertakan dalam SMS itu dan suspek yang menyamar pegawai bank meminta semua maklumat akaun bank mangsa.

"Mangsa kemudiannya berkongsikan semua maklumat akaun banknya bersama nombor kod pengesahan transaksi (TAC).

"Pada 20 Ogos, mangsa menyedari wang dalam akaun bank berjumlah RM352,050 sudah dipindahkan ke akaun pihak ketiga oleh penjenayah terbabit," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa yang menyedari terpedaya membuat laporan polis semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 4:52 PM