Gambar hiasan
Gambar hiasan
Juwan Riduan


Sipitang: Seorang guru kerugian sebanyak RM254,600 selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Mangsa berusia lingkungan 30 tahun itu mengalami kerugian selepas menerima panggilan daripada dua individu yang mengaku kononnya sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis berpangkat Sarjan.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mengaku sebagai pegawai LHDN, pada 14 Mac lalu.

Katanya, mangsa terkejut selepas diberitahu kononnya mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM38,500.90 atas nama syarikat yang didaftarkan atas namanya.

"Panggilan kemudiannya disambungkan kepada anggota polis berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur.

"Dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan bahawa terdapat satu akaun bank berkaitan dana haram sebanyak RM312,000," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diminta supaya menyerahkan maklumat bank bagi tujuan penyiasatan akaun oleh pihak AMLA.

Katanya, bermula 14 Mac hingga 26 Mac lalu, mangsa diarahkan untuk memindahkan wang ke dalam enam akaun bank yang berbeza.

"Mangsa hanya menyedari tertipu pada 30 Mac lalu dan terus tampil ke balai polis untuk membuat laporan polis.

"Laporan juga dibuat selepas mangsa takut semua dokumen serta identitinya akan disalahgunakan," katanya.

Champin berkata, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM254,600 dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, sebelum ini terdapat dua kes berlaku di daerah ini membabitkan warga pendidik dan warga kesihatan.

"Saya meminta kepada semua warga daerah ini supaya tidak terpedaya dan melayan panggilan telefon dari mana-mana pihak yang tidak dikenali dan menyamar sebagai kakitangan LHDN, polis, mahkamah dan lain-lain.

"Mohon orang ramai semak dan berhubung dengan pihak polis untuk kepastian bagi mengelak diperdaya oleh sindiket Macau Scam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 8:31 AM