GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Erika George


Kuching: Seorang pesara kerajaan di Marudi berputih mata selepas wang simpanan termasuk Amanah Saham Bumiputera miliknya bernilai RM1.19 juta lesap ditipu sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sarawak Superintendan Maria Rasid berkata, wanita warga emas berusia 60 tahun itu diperdaya kononnya sudah empat kali membuat tuntutan palsu membabitkan insurans perubatan.

Beliau berkata, seorang suspek yang menyamar sebagai polis menghubungi mangsa dan meminta warga emas itu membersihkan namanya kerana melakukan tuntutan palsu.

"Mangsa kemudian diarahkan suspek membuka akaun bank baharu kononnya bagi membantu polis menjalankan siasatan, tetapi perlu memberikan semua maklumat akaun itu kepada suspek,

"Mangsa yang ketakutan membuka akaun bank baharu sebagaimana diarahkan dan memindahkan kesemua wang simpanan keseluruhan bernilai RM1.19 juta ke dalam akaun itu," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Maria berkata, mangsa menyedari yang dirinya ditipu selepas melakukan semakan akaun bank miliknya di sebuah bank di Marudi.

Katanya, mangsa mendapati kesemua wang miliknya sudah dipindahkan ke sembilan akaun atas nama individu yang tidak dikenali melalui 52 transaksi antara 28 Oktober hingga 29 Mac lalu.

Dalam pada itu, Maria menasihatkan orang ramai membuat semakan nombor telefon dan akaun bank suspek melalui Check Scammers CCID atau melalui laman web http://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi kewangan bagi menggelakkan mereka menjadi mangsa penipuan scam.

Katanya, mereka juga boleh menghubungi terus CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 dan 03-26101599 atau Commercial Crime Investigation Department di talian 013-211 1222 sama ada melalui Whatsapp atau SMS bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan maklumat berhubung kes jenayah dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 6:11 PM