Foto hiasan
Foto hiasan
Garret Dawum


TIGA wanita yang panik dengan panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwanya sebagai majistret di Sarawak kerugian RM77,200 dalam kejadian di tiga lokasi berasingan, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mereka itu sebenarnya terpedaya dengan tipu muslihat sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai majistret.

Menurutnya, menyedari tertipu menyebabkan masing-masing membuat susulan laporan polis.

“Kes pertama membabitkan seorang penuntut perempuan berusia 20 tahun di Kuching apabila diperdaya suspek yang menyamar sebagai Majistret Johnson Tan kononnya mangsa mempunyai notis terakhir tunggakan saman kad kredit sebuah bank berjumlah RM16,840.88.

“Lelaki itu menyambungkan taliannya kepada lagi yang mendakwa pula pegawai polis sebelum suspek terbabit meminta data peribadi dan maklumat perbankan Internet mangsa kononnya untuk memeriksa data dalam sistem pengubahan wang haram.

“Selepas itu, mangsa mendapati wang berjumlah RM17,760 dalam akaunnya dipindahkan ke akaun pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan di Kuching, hari ini.

Mustafa berkata, kes kedua pula membabitkan seorang wanita di Sibu yang turut diperdaya seorang suspek yang mendakwanya adalah majistret dan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM16,800.88.

“Suspek kemudiannya menyambungkan panggilan ke ibu pejabat polis sebelum butir mangsa diambil.

“Mangsa menyedari ditipu selepas menerima kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan wangnya berjumlah RM39,440 dipindahkan dari akaunnya ke akaun pihak ketiga,” katanya.

Beliau

berkata, mangsa ketiga pula yang juga suri rumah warga emas di Padawan diperdaya dengan didakwa mempunyai kes mahkamah berkenaan rasuah.

“Wanita berusia 61 tahun itu kemudiannya memberi butiran kad pengenalan, nombor akaun bank dan kata laluan kad debitnya yang diminta suspek kononnya dia akan dibantu bagi penyelesaian masalah itu.

“Mangsa menyedari ditipu selepas membuat semakan akaun bank dan mendapati wang berjumlah RM20,000 dalam akaunnya hilang,” katanya.

Sementara itu, Mustafa Kamal berkata, bagi tempoh dari 1 Januari sehingga semalam dilaporkan sebanyak 64 kes Macau Scam di Sarawak dengan jumlah kerugian mencecah RM4.09 juta.

“Tahun lalu, sebanyak 84 kes dilaporkan dengan nilai kerugian mencecah RM5.32 juta dalam tempoh sama.

“Orang ramai haruslah sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau tipu helah pihak tertentu yang menyamar sebagai pegawai, anggota polis dan kakitangan jabatan atau agensi kerajaan serta pihak bank atau institusi kewangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 3:08 PM