Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Pas bersedia dengan segala kemungkinan termasuk menerima keputusan Umno Kelantan yang tetap ingin bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya akur jika terpaksa berlawan dengan parti itu, namun dalam masa yang sama masih berharap ada persefahaman antara mereka sekali gus dapat mengelakkan berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRU nanti.

"Kita hadap la, nak buat mcm mana, kita bersedia dengan segala kemungkinan tapi kalau terpaksa berlawan dengan Umno pun kita akan lawan cuma kita harap tak berlaku.

"Kita nak supaya ada understanding(persefahaman), sekurang-kurangnya agar tidak bertembung tiga penjuru sebab kita tak nak PH (Pakatan Harapan) boleh menang dan bukan saja di Kelantan tapi seluruh negara, itulah hasrat kita.

"Jadi kita harap pemimpin Umno boleh faham hasrat ni. Bagi kita biasa, walau dia (Umno) isytihar putus pun, kita tak isytihar putus dan kita pun tak menyerang malah kalau tengok ucapan kita pun, boleh kata tidak sentuh Umno, 'tipah' (ketuk) kepala sikit-sikit tu biasa la," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan ditemui selepas menghadiri Himpunan Perikatan Nasional peringkat negeri Kelantan sempena sambutan ulang tahun ke-2 PN di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Program itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Menyentuh mengenai pendirian parti itu yang mendesak suaya pihak berwajib membuat siasatan menyeluruh dalam isu pembekalan kapal tempur pesisir (LCS), Mohd Amar berkata, langkah itu sangat diperlukan bagi mengetahui perkara sebenar.

Beliau berkata, siasatan terperinci tidak semestinya membabitkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kerana ia akan memakan masa sebaliknya pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memadai supaya dapat mengenal pasti siapa yang bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 9:13 AM