MOHD Amar pada Majlis Amanat Khas Tahun Baharu 2018. FOTO Syamsi Suhaimi
MOHD Amar pada Majlis Amanat Khas Tahun Baharu 2018. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail


PERANCANGAN untuk menubuhkan kerajaan campuran membabitkan PAS dan UMNO adalah langkah jangka masa panjang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, perancangan parti untuk membawa UMNO menyertai pentadbiran Kelantan dan Terengganu seperti dinyatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih terlalu awal untuk dilaksanakan.

“Saya melihat apa yang dihasratkan lebih kepada rancangan jangka masa panjang untuk menghadapi PRU akan datang, bukan untuk sehari dua ini. Kita belum sampai ke situ lagi.

“Muafakat Nasional adalah memorandum persefahaman (MoU) sebagai tanda kerjasama secara rasmi memandangkan sebelum ini kita jalinkan kerjasama tidak rasmi menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK). Piagam ini lebih kepada garis panduan macam mana hubungan PAS-UMNO.

“Ini bermakna, UMNO di Kelantan masih lagi berada dalam blok pembangkang jika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan nanti, cuma mereka akan menjadi mesra kerajaan.

“Kalau betul mahu kerjasama macam masuk Barisan Nasional (BN), ia perlu dibincangkan di peringkat PAS Pusat sebelum mendapatkan mandat daripada muktamar pula selepas itu, kita mempunyai langkah tertentu,” katanya di Kota Bharu, malam tadi.

Mengulas lanjut, jawatankuasa khas yang ditubuhkan akan saling berbincang dan memberi cadangan kepada parti masing-masing.

“Sebenarnya, mesyuarat jawatankuasa muafakat ini hanya dilakukan di peringkat pusat antara kedua-dua parti, manakala peringkat negeri pula lebih kepada pelaksana kerana kita tiada kuasa untuk menentu.

“Jadi apa yang diputuskan di peringkat pusat selepas kedua-dua jawatankuasa ini bersidang, mereka akan kemukakan cadangan. PAS dan UMNO kemudiaannya akan melihat cadangan itu dan jika setuju barulah diturunkan kepada negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 11:04 AM