Mohd Amar (gambar kecil) menegaskan PAS tidak pernah merosakkan Pakatan Harapan sebaliknya ia adalah masalah dalaman pakatan itu.
Mohd Amar (gambar kecil) menegaskan PAS tidak pernah merosakkan Pakatan Harapan sebaliknya ia adalah masalah dalaman pakatan itu.
Maiamalina Mohamed Amin


PAS dijangka bertanding di lebih 100 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan sekutu Gagasan Sejahtera selaku blok ketiga.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pimpinan parti sedang mengenal pasti kawasan sesuai untuk menempatkan calon.

"Kita daripada awal sudah bersedia apabila putus dengan DAP dan Pakatan Rakyat berkubur.

"Dalam kepala sudah di set, bahawa akan berlaku pertembungan sama ada tiga penjuru ke, lima penjuru ke, kita sedia. Senario ini sudah dijangka.

"Cuma kalah atau menang, itu kehendak Allah. Bukan kita bertanding semua 220 kerusi, tapi mungkin lebih daripada 100 dengan Gagasan Sejahtera, blok ketiga kita," katanya ditemui media selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar berkata, keputusan Pakatan Harapan untuk menolak bekerjasama dengan PAS ketika PRU-14 juga tidak berbangkit kerana parti itu sudah menarik diri daripada awal.

"Kena jelas hal ini kerana sejak dulu, PAS tidak ada hasrat bekerjasama dengan Pakatan Harapan, malah sebelum adanya Tun Mahathir Mohamed.

"Jadi tak berbangkitlah soal Pakatan Harapan tak nak bekerjasama dengan kita. Dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pun kita tidak pernah ada hubungan rasmi," katanya

Beliau juga menolak dakwaan mengatakan PAS merosakkan pembangkang dan turut menyebabkan pakatan parti itu terbahagi dua.

Sebaliknya, katanya, perpecahan dalam pakatan pembangkang disebabkan pergaduhan sesama mereka.

"PAS tidak terbabit. Mereka nak gaduh bukan disebabkan kita. Suami isteri bergaduh bukan sebab dikacau tetapi kerana masalah dalaman mereka.

"Kita tak ada niat nak pecah belahkan mereka. Itu bukan plan kita," katanya menjawab dakwaan PAS dikatakan ‘pengacau’.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 4:36 PM