Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Kenyataan yang melabel Pas sebagai 'pelacur politik' dianggap sebagai provokasi untuk mencetuskan ketegangan dalam kerjasama parti itu dan Umno.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya enggan mengambil berat mengenai dakwaan, namun mengakui berkecil hati dengan tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, baru-baru ini.

Mohd Amar berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk berdiam diri dan bertenang serta mengibaratkan isu itu seperti masalah rumah tangga.

"Kita tak mahu isu ini jadi tajam, sebagai manusia kita pun terasa hati bila dituduh begitu tapi kalau kita jawab, ia akan menjadi ketegangan malah kenyataan sebegini ialah usaha untuk provok kita, boleh jadi isu politik.

"Sebab itu kita kena tenang. Bila kita melenting, orang akan kata kita tidak boleh duduk bersama sebab sudah bergaduh, biarlah kita 'relax' (tenang) dulu.

"Macam dalam rumah tangga, bila isteri berleter, suami diam dan mungkin kenyataan sebegitu keluar dalam keadaan dia tengah marah.

"Saya harap ada sinar sebab kita percaya majoriti pemimpin dan ahli Umno merasa perlu berada dalam Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tuduhan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Gua Musang itu yang melabelkan Pas sebagai 'pelacur politik' dan perlu ditewaskan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang berikutan tindak-tanduk parti itu dalam pilihan raya kecil sebelum ini membuktikan parti itu tidak boleh dipercayai.

Terdahulu Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan merasmikan majlis pecah tanah sempena pembangunan Kompleks Pengilangan OTC I Medikel Pharma Holdings Berhad di Seksyen 44, Mukim Panchor, di sini, hari ini.

DATUK Mohd Amar Nik Abdullah melakukan gimik sempena perasmian majlis pecah tanah sempena pembangunan Kompleks Pengilangan OTC I Medikel Pharma Holdings Berhad di Seksyen 44, Mukim Panchor, di sini, hari ini. FOTO Siti Rohana Idris
DATUK Mohd Amar Nik Abdullah melakukan gimik sempena perasmian majlis pecah tanah sempena pembangunan Kompleks Pengilangan OTC I Medikel Pharma Holdings Berhad di Seksyen 44, Mukim Panchor, di sini, hari ini. FOTO Siti Rohana Idris

Mohd Amar berkata, hubungan antara Pas dengan Umno serta Bersatu agak baik, cuma sedikit bermasalah antara Umno dan Bersatu disebabkan sejarah kedua parti itu dan ada berlaku pecahan.

Bagaimanapun katanya, Pas sedang berusaha untuk menyelesaikan isu yang timbul supaya kedua parti itu dapat bertolak ansur demi kepentingan negara dan ummah pada masa akan datang.

"Sebab dalam pandangan yang kita buat, kalau kita boleh duduk sama antara Pas, Umno dan Bersatu, kita boleh dapat kemenangan besar dalam PRU akan datang tapi kalau berpecah, masalah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar enggan memberi komen lanjut mengenai isu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan akan menjalinkan kerjasama dengan Umno.

"Kita tak boleh komen apa-apa sebab benda itu hanya khabar angin dan kalau dia (Umno) buat keputusan nak pergi dengan PKR, kita tak boleh buat apa-apa cuma kita harap pemimpin Umno lebih bijaksana dalam membuat keputusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 1:52 PM