Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Tiada keperluan untuk pemimpin Pas mengisytiharkan harta kerana rakyat sudah mengenali pemimpin daripada parti berkenaan.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pemimpin daripada parti berkenaan juga tidak mempunyai harta yang banyak.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menghalang mana-mana pemimpin daripada parti berkenaan untuk membuat pengisytiharan harta mereka.

"Harta kita tak banyak… orang lain sebut juta-juta, kita ratus ribu tak sampai juta, jadi tak perlu isytihar.

"Memang ada orang kita yang jutawan pun ada, tetapi tak terlibat dengan politik, (orang yang) terlibat dengan politik ini, berniaga pun kena sekat macam-macam," katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Ketika ditanya adakah Pas bimbang jika isu berkenaan dimanipulasi pihak lawan, penyandang kerusi Parlimen Marang berkenaan tidak melihatnya sebagai isu besar dan tidak kisah sekiranya dijadikan modal politik untuk berkempen.

"Nampaknya kepada Pas, dia (pihak lawan) tak boleh buat apa kerana orang Pas didapati tiada salah laku, kita perintah Kelantan, Terengganu, Kedah, tiada seorang pun orang kita yang diheret ke mahkamah, dibicarakan.

HADI Awang semasa sidang media selepas menyampaikan kuliah pagi di Masjid Rusila Marang. FOTO Ghazali Kori
HADI Awang semasa sidang media selepas menyampaikan kuliah pagi di Masjid Rusila Marang. FOTO Ghazali Kori

"Tetapi dalam PH (Pakatan Harapan), BN (Barisan Nasional), PH pula bicara (mahkamah) berhenti… yang BN sambung bicara.

"Bukan masa dua minggu ini nak isytihar harta, patutnya orang kena tahu bertahun-tahun tentang harta kita dan masyarakat setempat lebih tahu calon masing-masing, (jadi) tiada guna kita nak bermuka-bermuka dengan orang," katanya.

Terdahulu, calon PKR yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebelum ini disyaratkan melaksanakan proses pengisytiharan harta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 1:20 PM