Nor Fazlina Abd Rahim dan Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pas akan terus memujuk Umno untuk bersama-sama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam gagasan penyatuan ummah antara parti Melayu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah juga berkata, tiada muslihat dalam hasrat parti itu untuk berganding bahu sebagaimana dakwaan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, beliau berkata, ia semata-mata demi maslahah atau keutamaan kepentingan kepada agama dan parti.

"Kita akan berusaha untuk memujuk Umno sehingga ke akhirnya (PRU) untuk menyertai penyatuan ummah kerana sekarang ini, kita tidak tahu lagi bila penamaan calon.

"Masa (untuk memujuk) masih ada dan kita harap pimpinan Umno boleh melihat benda ini dengan lebih rasional.

"Macam di Melaka (Pilihan Raya Negeri), kita pujuk dan kita bincang dengan Umno sehingga saat akhir, tetapi Umno menolak. Jadi kita tidak ada pilihan pada masa itu dan terpaksa turun bertanding dan melawan (Umno)," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Katanya, begitu juga pada PRN Johor yang lalu apabila Pas berusaha memujuk Umno untuk bekerjasama sehingga saat akhir.

Mengulas mengenai dakwaan Pas mempunyai muslihat dalam penyatuan ummah, Mohd Amar berkata, parti itu juga boleh membuat dakwaan sama terhadap pihak lain.

"Umno tekan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) untuk bubar Parlimen. Kita pun boleh kata, maknanya ada kepentingan individu-individu tertentu... kalau kita nak bergaduh," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid sebagai berkata, cadangan Pas untuk bekerjasama bagi mengelak pertembungan tiga penjuru antara parti itu dengan Umno dan Bersatu dalam PRU15 disifatkan sebagai satu taktikal penuh muslihat.

Beliau berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah menetapkan pendirian jelasnya bahawa jika pun kerjasama antara dua parti itu mahu dibentuk dalam pilihan raya, ia mesti bersifat menyeluruh.

Amar  pada sidang media. foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Amar pada sidang media. foto NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 5:18 PM